Saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan minggu ini bakal menyaksikan permainan strategi beberapa pasukan dalam misi mereka memburu mahkota kejuaraan.
Perkembangan ini sudah pasti menjadikan aksi di Jempol berlangsung sengit kerana setiap pasukan bertekad mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta keseluruhan.
Ini kerana, saingan musim ini semakin hampir untuk melabuhkan tirainya dengan pusingan akhir bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bulan depan.
Setakat ini, lapan pusingan sudah dilangsungkan dan carta keseluruhan bagi kategori pasukan diungguli pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing Team.
Pasukan tersebut kini mendahului kedudukan bagi kelas CP150 dan CP115. Mereka kini unggul dengan mengumpul 183 mata dalam kelas CP150 manakala bagi kelas CP115 pula, pasukan tersebut berada di puncak dengan meraih 188 mata.
Bukan setakat mendahului kedudukan dalam kategori pasukan, malah pelumbanya Ahmad Afif Amran turut memegang status selaku pendahulu bagi kategori pelumba selepas meraih 127 mata dalam kelas CP150 manakala Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff pula mengungguli kelas CP115 dengan meraih 135 mata.
Apakah pasukan tersebut bakal meraih gelaran berganda bagi kedua-dua kategori musim ini atau akan berlaku kejutan pada saat-saat terakhir nanti.
Bagi merealisasikan impian bergelar juara keseluruhan, pasukan CKJ Racing dikatakan telah melamar khidmat pelumba veteran, Mohd Affendi Rosli yang akan menggalas cabaran dalam kelas CP150.
Pelumba berusia 34 tahun itu bakal bergandingan dengan Afif serta Mohd Aiman Tahiruddin bagi memastikan kedudukan pasukan tersebut terus terjamin dalam carta keseluruhan.
Walaupun dilihat selesa memimpin kedudukan, namun pasukan tersebut tetap menganggap status mereka masih belum selamat.
Mereka sedar bahawa pasukan-pasukan lain juga semakin memperlihatkan peningkatan kerana barisan pencabar mereka juga turut mengimpikan sasaran yang sama – iaitu untuk bergelar juara bagi musim 2019.
Pencabar terdekat mereka ketika ini adalah pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing serta Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang menghuni tangga kedua dan ketiga bagi kategori pasukan.
Dengan berbaki dua pusingan lagi untuk diharungi musim ini, pasukan CKJ Racing sudah pasti mahu melaluinya dengan gaya yang lebih selamat.
Mereka akan memastikan barisan pelumbanya tidak keciciran mata kerana setiap mata yang dipungut amat berharga, lebih-lebih lagi ketika saingan musim ini semakin menghampiri kemuncaknya.
Podium tetap menjadi buruan, tetapi perlu bijak menempuhinya agar setiap perlumbaan yang diharungi berakhir dengan pungutan mata.
Kemenangan yang dicapai oleh pelumbanya dalam setiap perlumbaan akhir akan mengukuhkan lagi cengkaman pasukan untuk bergelar juara keseluruhan.
Justeru, sikap ghairah harus diketepikan kerana ia boleh membawa risiko kepada pasukan. Perjalanan pasukan CKJ Racing musim ini boleh dianggap sangat menarik kerana dua pelumbanya terus konsisten menyumbang mata dalam setiap perlumbaan.
Afif antara penyumbang mata terbanyak diikuti Md Aiman Tahiruddin. Begitu juga dengan prestasi Syukran dalam kelas CP115 dan boleh dikatakan pelumba asal Terengganu itu tidak pernah gagal untuk menjejak kaki di podium kemenangan.
Rentak cemerlang seperti itulah yang terus dituntut oleh pengurusan pasukan agar misi mereka untuk bergelar juara musim ini dapat direalisasikan.
YY Pang Racing pula semakin gagah melontarkan cabaran yang turut memasang impian menamatkan saingan musim ini dengan membawa pulang mahkota kejuaraan.
Memang tidak dapat dinafikan barisan pelumba pasukan tersebut kurang meyerlah dalam saingan kelas CP150, tetapi kekerapan mereka memungut mata dalam setiap perlumbaan membolehkan pasukan YY Pang Racing berada dalam kelompok dua teratas bagi kategori pasukan.
Musim ini, pelumba pasukan tersebut tidak kurang hebatnya ketika mengharungi cabaran dalam kelas perdana dan mereka pernah muncul juara menerusi Md Azhar Abd Jalil pada aksi Pusingan 4 di Pontian dan juga menerusi Tengku Amirul Haffirudin pada Pusingan 6 di Teluk Intan.
Konsistensi yang dipamerkan oleh barisan pelumbanya untuk meraih mata dalam setiap perlumbaan, membolehkan mereka mengumpul 180 mata, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu keseluruhan, CKJ Racing.
Perbezaan mata yang sangat tipis itu terus memberi keyakinan kepada barisan pelumba YY Pang Racing kerana peluang untuk mereka mengubah kedudukan masih terbuka luas.
Bagi kelas CP115 pula, misi mereka agak terjejas kerana perbezaan mata dengan pendahulu keseluruhan agak jauh. Untuk memburukkan lagi keadaan, wira YY Pang Racing, Md Adib Rosley terpaksa diketepikan selepas saingan di Teluk Intan gara-gara kecederaan.
Ketiadaan Adib itu agak merencatkan misi mereka kerana pelumba asal Selangor itu telah bergelar juara sebanyak dua kali, masing-masing pada Pusingan 3 dan 5.
Harapan mereka kini disandarkan kepada Md Fareez Afeez Abd Rahman yang kini menduduki tangga keempat keseluruhan dengan meraih 85 mata.
Jika mahu mengejar kedudukan CKJ Racing dalam carta keseluruhan, barisan pelumba YY Pang Racing perlu menghalang kemaraan pencabar mereka itu daripada menjejak kaki di podium kemenangan pada aksi Pusingan 9 di Jempol nanti.
Turut menjadi perhatian dalam kelas CP115 adalah pasukan Pertonas Sprinta Yamaha Maju Motor yang kini berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 161 mata.
Jika kena pada harinya, barisan pelumba Maju Motor ini mampu melakar kejutan, lagipun mereka masih belum mahu menyerah untuk memintas kedudukan YY Pang Racing.
Pada Pusingan 8 di Tangkak sebelum ini, Md Syafiq Rosli tampil hebat untuk bergelar juara, sekali gus menghadiahkan mata berharga buat pasukannya.
Begitu juga dengan situasi mereka dalam kelas CP150 yang menyaksikan pasukan Maju Motor itu berkongsi 180 mata dengan YY Pang Racing.
Peluang mereka untuk memintas CKJ Racing juga terbuka luas jika rentak cemerlang seperti yang dipamerkan di Tangkak baru-baru ini berulang di Jempol nanti.
INFO Kedudukan keseluruhan pasukan (lima teratas):
CP150 Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 183 mata
Motul Yamaha YY Pang Racing – 180 mata
Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 180 mata
Idemitsu Honda Yuzy Racing – 157 mata
ONEXOX TKKR SAG Team – 140 mata
CP115
Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 188 mata
Motul Yamaha YY Pang Racing – 173 mata
Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 161 mata
Idemitsu Honda Yuzy Racing – 152 mata
ELF Koyoko Honda KC Racing – 84 mata