JOHOR terus mengungguli kedudukan keseluruhan temasya SUKMA XX MSN 2022 dengan tuaian 8 emas untuk jumlah keseluruhan 69 emas (setakat jam 10 malam) yang meletakkan kontinjen selatan air itu terus puncak selepas saingan hari ke-11, hari ini.
Keampuhan Johor dalam saingan kanu sekali lagi terserlah dengan kemenangan 3 emas selain kejayaan dalam berbasikal keirin, judo, menembak, renang dan bola tampar.
Dengan baki dua hari sebelum tirai temasya dilabuh, Wilayah Persekutuan terus menghuni kedudukan kedua dengan kutipan kepada 39 emas keseluruhan.
Kejayaan meraih 6 emas hari ini membantu mengukuhkan kedudukan keseluruhan di tempat kedua.
Bekas juara Terengganu menyimpan harapan untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen edisi ke-20 ini sebagai naib johan tetapi ketika ini, dihalang Wilayah Persekutuan yang berada di depan dengan perbezaan hanya satu emas.
Kontinjen Penyu terus menekan Wilayah dengan kutipan 4 emas hari ini, hasil sumbangan berbasikal trek (Sratch Lelaki 15km), dua emas daripada judo dan satu emas dalam angkat berat untuk kekal di kedudukan ketiga setakat ini.
Empat emas pada hari terakhir pertandingan berbasikal trek dimenangi pelumba Johor Mohd Ridwan Sahrom dalam Keirin Lelaki, pelumba Kedah Nurul Izzah Izzati Asri (Keirin Wanita), pelumba Terengganu Wan Abul Rahman Hamdan (Scratch Race 15 Lelaki) dan Nyo Ci Hui dari Perak dalam acara (10km Scratch Race).
Dalam pada itu, Negeri Sembilan mengungguli Ragbi Lelaki menumpaskan Seangor 14-0 manakala Kedah menjulang emas dalam Ragbi Wanita selepas menumpaskan Selangor 17-12.
Pulau Pinang pula menjuarai Regu Trio Lelaki selepas mengetepikan Selangor 21-15, 21-17 manakala Sabah nyata unggul menumpaskan Perlis 21-17, 21-12 untuk emas Sepaktakraw Wanita.
Memanah berakhir dengan Sarawak meraih 2 emas dalam recurve olimpik campuran dan wanita manakala Sabah, Wilayah Persekutuan dan Pahang masing-masing pulang dengan satu emas.
Pahang pastinya lega dengan kemenangan Nur Shafiqah Nabihah dalam Bowling Wanita Masters selain Sabah yang menjuarai Masters Lelaki.
Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Kedah masing-masing memenangi emas angkat berat yang menawarkan empat emas pada hari terakhir hari ini.
Bagi terjun pula, penerjun Sarawak Bertrand Rhodict Lises nyata cemerlang dalam acara platform lelaki manakala dalam saingan hari terakhir Judo, Terengganu unggul dengan 2 emas manakala Johor, Perak dan Kedah masing-masing berpuas hati dengan satu emas.
Selangor mendominasi Gimanstik Berirama dealam Group Exercise 5 Rope dan juga menembak, yang menghasilkan 2 emas dalam 50 Rifle 3 Position Lelaki dan Berpasukan Lelaki.
Selangor sekali lagi mendominasi saingan renang dengan meraih 3 emas, begitu juga Wilayah Persekutuandengan 3 emas diikuti Sarawak dan Johor, masing-masing satu emas.
Johor juga unggul menumpaskan Selangor untuk meraih emas dalam saingan bola tampar yang menyaksikan aksi sengit dan berakhir dengan 25-18, 25-18, 19-25, 22-25, 21-19.
Secara keseluruhan, Johor tampak sukar dicabar selepas dalam kutipan 8 emas hari ini, diikuti enam emas masing-masing oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan, Sarawak, Terangganu dan Kedah (4 emas), Sabah (3), Pahang (2), Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak masing-masing satu emas.
Menuju hari terakhir dan upacara penutupan Sabtu ini, Johor terus meninggalkan kontinjen lain dengan jumlah besar 69 emas, 38 perak dan 38 gangsa. Saingan kedudukan ke-2 membabitkan Wilayah Persekuruan (39 emas) dan Terengganu (38) bakal sengit manakala bagi Sabah, Pulau Pinang dan Sarawak dalam kedudukan cemas kerana hanya dipisahkan oleh satu emas bagi saingan kedudukan ke-4, ke-5 dan ke-6.
Esok, final bolasepak antara Pulau Pinang dan Terengganu antara yang yang menarik perhatian selain saingan akhir merebut emas dalam MTB, hoki, bola keranjang 3×3, gimrama, skuasy, tinju, kanu, menembak, renang, pencak silat dan angkat berat.
Badminton pula memasuki separuh akhir membabitkan perlawanan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.