Susulan isu tunggakan gaji enam bulan Reinaldo Lobo yang dibawa ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).

Bekas majikan pemain itu Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mendakwa mereka tidak tahu-menahu mengenai perkara itu malah menegaskan pemain itu sendiri tidak pernah berjumpa dengan pengurusan bagi membincangkannya.

Pemangku Presiden FAP, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata pihaknya bagaimanapun akan meneliti dakwaan pemain berusia 29 tahun itu dan menjelaskan segala kemelut ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab dan ‘lepas tangan’ pengurusan lama.

“Sejak peletakan jawatan presiden dan naib presiden banyak masalah berlaku terutama soal bayaran gaji, tetapi kami ingin maklumkan memang ada tertunggak dua bulan dan sedang berusaha membayarnya dalam tempoh terdekat.

“Kami tidak tahu pula tentang Lobo (enam bulan tidak dibayar), lagipun dia sudah lama tidak bersama pasukan kerana kecederaan dan sudahpun digantikan oleh Brandon McDonalds pada perpindahan kedua.

“Apapun kontraknya memang kekal sehingga 30 November dan kita akan meneliti dakwaaannya. Perkara ini tidak perlu dipolitikkan, diperbesarkan dan boleh diselesaikan dengan duduk berbincang cuma kita sedikit terkilan dengan cara kepimpinan lama menangani perkara ini,” kata Abdul Rahim.

Tambahnya, Mesyuarat Agong FAP akan diadakan pada 17 Januari justeru berpendapat kemelut ini boleh diselesaikan kepimpinan baru dengan kadar segera.

Terdahulu pada Selasa, Lobo yang menyarung jersi pasukan harimau kumbang selama tiga musim berkata dia terpaksa membawa perkara ini kepada pengetahuan Persatuan Bolasepak Malaysia dan FIFA kerana sudah sekian lama bersabar dan tiada sebarang inisiatif diambil FAP bagi menyelesaikan perkara tersebut. OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -