formul

Oleh Muhammad Aiman

Tinggal kurang sepuluh hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun sambutan yang diterima jelas dilihat kurang menggalakkan berbanding tahun lalu.

Penganjur dilihat bergelut untuk melariskan jualan tiket namun Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali optimis situasi akan bertambah baik tepat pada waktunya dalam masa sama berpendapat kehadiran Nabil Jeffry (GP2) dan Akash Nandy (GP3) yang akan beraksi dalam perlumbaan sokongan, berpotensi menyemarakkan kembali sambutan di saat akhir.   

Razlan turut memaklumkan bahawa sebagai kelainan dan tarikan pada penganjuran kali ini, SIC turut menghargai sumbangan atlet olimpik dan paralimpik negara yang beraksi di Rio De Janeiro baru-baru ini apabila mereka turut diundang menghadiri sesi bertemu peminat bersama pemandu-pemandu F1.

Ironinya, kemerosotan jualan tiket bukan sahaja dihadapi Malaysia tetapi situasi sama turut dihadapi penganjur minggu lalu, GP Singapura apabila mereka melaporkan jualan tiket merudum 15 peratus berbanding tahun lalu, yang mana ianya dikaitkan dengan pendekatan promosi yang kurang meluas oleh pengendali baru F1, Liberty Media.

Dalam perkembangan lain, Nabil Jeffry berharap pengalaman beraksi di SIC sejak berusia 16 tahun akan membantunya untuk memberikan aksi terbaik dalam perlumbaan sokongan GP F1 minggu hadapan.

“Pertama kali beraksi di hadapan penyokong sendiri dalam saingan GP2, ramai meletakkan harapan tinggi kepada saya. Bagi saya berada di kedudukan lapan atau sepuluh terbaik sudah memadai untuk meraih mata,” kata Nabil dalam majlis ramah mesra bersama media tempatan di Bangsar pada Rabu.

- Advertisement -