SELEPAS 24 tahun, PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 melangkah gah ke hadapan memasuki dekad baru dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun yang menandakan bermulanya fasa baru bagi perlumbaan terulung negara itu di sini malam ini.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan pencetus dan pengasas LTdL, merasmikan sambutan Jubli Perak LTdL 2020 dalam suasana penuh warna warni dan bermakna di Menara Berkembar PETRONAS di sini.
Bermula daripada sebuah perlumbaan jelajah sederhana mengelilingi pulau berstatus 2.6 pada 1996 yang bertujuan menggerakkan ekonomi dan sektor pelancongan di Pulau Langkawi, LTdL kini berkembang pesat sebagai perlumbaan berprestij Asia yang telah diwarnai pelbagai pasukan dan pelumba ternama dunia.
LTdL mengorak langkah memasuki cabaran fasa baru yang lebih mencabar dengan status sebagai perlumbaan ProSeries UCI, struktur baru yang diwujudkan badan berbasikal dunia UCI untuk menghimpun perlumbaan elit dari serata dunia dan berkelas dunia.
ProSeries, yang berada setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCI (yang terdiri daripada Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta Espana, saingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain), menyenaraikan hanya 30 perlumbaan berstatus Hors atau Kelas 1 daripada struktur pasukan UCI sebelum ini.
Saingan edisi ke-25 itu dijadualkan dari 7 hingga 14 Februari dengan membabitkan 8 peringkat perlumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi meliputi jarak keseluruhan sejauh 1095.7km.
LTdL 2020 membabitkan lapan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak , Penang dan Kedah manakala Sabah pula diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi perlumbaan julung kali Kriterium Antarabangsa yang dijadualkan pada 6 Februari di Kota Kinabalu. Acara rasmi Pengenalan Pasukan juga akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 5 Februari 2020.
Perlumbaan sehari Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari dan perlumbaan Klasik Malaysia di Langkawi pada 15 Februari merupakan dua perlumbaan khas yang diadakan bersempena sambutan Jubli Perak LTdL 2020. Ia merupakan inisiatif penganjur Human Voyage yang bertujuan menarik minat ramai dan memberi peluang kepada pelumba muda negara dan ASEAN bersaing bersama-sama pelumba profesional dalam kancah yang kompetitif dan berkelas dunia. Ia juga bertujuan menarik pembabitan pelbagai pihak termasuk pihak Penaja untuk sama-sama membangun dan menyemarakkan sukan dan industri berbasikal di negara ini.
YAB Tun Dr Mahathir, dalam ucapan perasmiannya menyatakan penghargaan terhadap kejayaan LTdL yang berkembang dan berjaya meniti peringkat tertinggi sehingga menjadi perlumbaan berprestij yang mendapat perhatian pelbagai pasukan dan pelumba professional ternama dunia.
Sejak bermula pada 1996, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk dari negara yang mempunyai sejarah sukan berbasikal yang lama seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Britain dan negara Eropah lain dengan sesetengahnya pula berjaya mengetengahkan diri menjadi pelumba berstatus elit dunia. Ini termasuk nama-nama besar dunia seperti juara Tour de France Egan Bernal, legenda Itali Andrea Tafi, juara dunia Paolo Bettini, Alessandro Pettachi, Floyd Landis, Chris Horner, Julio Perez, Rinaldo Nocentini, Jan Koerts, Stuart O’Grady, Thomas Voeckler, Gabriele Missaglia, Steven Kruijswijk dan pakar pecut Caleb Ewan dari Australia.
“Perkembangan pesat LTdL telah membantu meletakkan nama Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia. Bukan itu sahaja, ia turut memberi manfaat kepada daerah-daerah, bandar dan pekan yang dilalui LTdL. LTdL ternyata amat sinonim dengan rakyat Malaysia dan penyertaan semula Sabah dan Sarawak pasti menambah keunikan dan cabaran baru kepada LTdL 2020,” kata Tun Dr Mahathir.
Tun Dr Mahathir memuji usaha penganjur Human Voyage untuk terus mempopularkan sukan berbasikal di negara ini dengan menganjurkan dua perlumbaan unik sempena edisi ke-25 LTDL kali ini – perlumbaan Kriterium Antarabangsa dan perlumbaan Klasik Malaysia – yang menyerupai perlumbaan-perlumbaan klasik sehari yang amat terkenal dan mendapat sambutan meluas di Eropah.
Peranan dan sumbangan pelbagai penaja yang terbabit menjayakan LTdL juga amat dihargai termasuk sokongan dan sumbangan besar PETRONAS yang merupakan Penaja Acara LTdL 2020. PETRONAS merupakan antara penggerak utama LTdL sejak awal acara sehingga kini.
“Buat pertama kalinya, kita menyaksikan bagaimana pelepasan utama LTdL 2019 berlangsung megah dengan berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas di ibu negara. Terima kasih dan penghargaan kepada semua penaja di atas pelbagai sumbangan dan diharapkan pembabitan yang sama pada masa depan,” kata Tun Dr Mahathir.
Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Datuk Ahmad Mustafa dalam pada itu menyeru rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan dan latarbelakang bersatu memberi sokongan padu menjayakan LTdL 2020 dan menampilkan suasana harmoni serta kepelbagaian dan keunikan Malaysia, sesuai dengan imej dan status baru LTdL kali ini.
“Selain saingan getir di atas gelanggang, kami berharap dapat pergi lebih jauh menyebar dan menyemarakkan keseronokan LTdL kepada sebanyak mungkin rakyat dan peminat, bukan sahaja di Semenanjung, Langkawi, Sabah dan Sarawak, bahkan meliputi seluruh rantau Asia dan dunia,” kata beliau.
Bersempena sambutan 25 tahun LTdL, Datuk Ahmad berkata pelbagai acara sukan dan komuniti dirancang bagi menarik minat dan membabitkan pelbagai pihak, pihak berkepentingan, penaja, masyarakat setempat, peminat sukan berbasikal dan rakyat keseluruhan untuk menjadikan LTdL 2020 paling meriah dan menarik.
Dengan status sebagai perlumbaan ProSeries UCI, penganjur optimis menarik penyertaan pasukan ternama dari kelompok WorldTour, Pro Benua dan pasukan benua dari Asia, Oceania, Eropah, Amerika dan Oceania yang tersenarai pada kedudukan utama ranking dunia.
Le Tour de Langkawi 2020
FAKTA PERLUMBAAN
SAINGAN 10 hari menyusuri pelbagai laluan, kampung, pekan dan bandar dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Pulau Langkawi bakal menjadikan LTdL 2020 sebagai “pesta berbasikal” yang unik apabila kayuhan edisi ke-25 bermula di Kuching pada 7 Februari dan berakhir di Langkawi pada 14 Februari 2020.
Buat julung kali, bersempena sambutan Jubli Perak LTdL tahun ini, peminat dan rakyat berpeluang merasai keseronokan berterusan perlumbaan jelajah terbesar Asia itu dengan penganjuran dua acara pra dan pasca LTdL 2020 yang bertujuan menyemarakkan kehebatan dan keunikan acara itu selain terus menggalakkan perkembangan sukan berbasikal di rantau ini.
- Perlumbaan KRITERIUM ANTARABANGSA dijadualkan berlangsung pada Feb 6 di Kota Kinabalu meliputi jarak 95.2km menyediakan pentas bagi pelumba muda Malaysia dan ASEAN di bawah 23 tahun untuk bersaing menonjolkan kemampuan bersama pelumba profesional dan elit UCI dalam suasana penuh kompetitif dan berkelas dunia. Perlumbaan itu diharap kekal menjadi acara tahunan bagi membantu meluaskan lagi kelompok pelumba muda yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
- Perlumbaan KLASIK MALAYSIA yang diberi jolokan “Saingan Juara-juara” atau “Race of the Champions” akan berlangsung di Langkawi pada 15 Februari 2020, sehari selepas berakhirnya LTdL 2020, yang menampilkan juara-juara berbasikal antarabangsa. Perlumbaan itu juga diharap dapat berkembang menjadi acara tetap tahunan dan muncul sebagai antara perlumbaan klasik sehari yang terkenal dan menonjol di rantau ini pada masa depan.Le Tour de Langkawi 2020
JADUAL ACARA – 10 HARI
PERINGKAT
TARIKH
MULA
TAMAT
JARAK
5 Feb (RABU)
MAJLIS PENEGENALAN PASUKAN di KOTA KINABALU WATERFRONT KRITERIUM ANTARABANGSA 6 Feb (KHAMIS) Kota Kinabalu Kota Kinabalu 95.2km PERINGKAT 1 7 Feb (JUMAAT) Kuching, Padang Merdeka
Kuching, Padang Merdeka
90km
PERINGKAT 2 8 Feb (SABTU) Kuala Terengganu
Kerteh
175km
PERINGKAT 3 9 Feb (AHAD)
Temerloh
KLCC, Kuala Lumpur
162.5km
PERINGKAT 4 10 Feb (ISNIN) Putrajaya
Genting Highlands
124.9km
PERINGKAT 5
11 Feb (SELASA)
Kuala Kubu Baru
Ipoh
156km
PERINGKAT 6 12 Feb (RABU) Taiping
Pulau Pinang
151.3km
PERINGKAT 7 13 Feb (KHAMIS) Bagan
Alor Setar
130km
PERINGKAT 8 14 Feb (JUMAAT) Dataran Lang, Langkawi
Kuah – Kuah Loop
110km
JARAK KESELURUHAN
1095.7km
KLASIK MALAYSIA 15 Feb (SABTU) Kuah
Kuah Loop
160km
Dikeluarkan oleh Media247 bagi pihak Le Tour de Langkawi 2020.
Keterangan lanjut dan pertanyaan, sila hubungi:
Ku Mohd Lufti Ku Yahya (017 258 0396) / Zailatul Farita (019 300 7882) / Naser Wahab (019 957 8955)