khairy-jamaluddin1

Oleh Ku Mohd Lufti

Pemenang pemenang pingat di Sukan Paralimpik Rio akan diraikan dengan sambutan besar-besaran serta perarakan di sekitar ibu negara selepas tiba di tanah air esok.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjelaskan perarakan itu akan diadakan selepas majlis sambutan kepulangan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Atlet paralimpik negara akan dibawa mengggunakan bas tidak berbumbung dalam perarakan bermula dari Jalan Tun Razak menuju ke KLCC melalui Jalan Ampang dan berhenti seketika di pintu masuk Dewan Filharmonik Petronas.

Seterusnya perarakan akan melalui Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Chulan sebelum berhenti sekali lagi di kawasan air pancut berhadapan pintu utama pusat beli belah Pavilion di Jalan Bukit Bintang sebelum bergerak ke destinasi terakhir di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan.

“Sambutan ini atas pencapaian luar biasa mereka yang mencipta sejarah terbaik sepanjang penyertaan di Sukan Paralimpik…mereka layak menerima sambutan besar-besaran ini.”Kata Khairy Jamaluddin.

Malah, Khairy turut menyeru orang ramai untuk sama sama meraikan ketibaan atlet dan perarakan pada Khamis.

“Saya berharap kita sama-sama dapat menzahirkan sokongan dan datang sendiri ke Komplek Bunga Raya di KLIA atau lokasi perjalanan konvoi di ibu negara untuk memberi sokongan,” katanya lagi.

“Di media sosial kita dah sokong, jangan berakhir setakat itu sahaja. Jom kita sambut wira-wirawati kita ini. Jika anda kata anda ambil berat mengenai atlet paralimpik, datanglah meraikan mereka di ibu negara Khamis ini,” katanya.

Kontinjen paralimpik mencipta sejarah cemerlang sukan negara apabila meraih tiga pingat emas dan satu gangsa menerusi acara olahraga, sekali gus menamatkan cabaran di kedudukan ke-36 dalam pungutan pingat keseluruhan.

Emas pertama dimenangi atlet pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki, disusuli emas kedua menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 lelaki.

Pingat emas ketiga disumbangkan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 lelaki yang turut mencatat rekod baharu dunia dengan lompatan 7.60 meter.

Pingat gangsa diraih Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20 wanita dengan memperbaharui rekod Sukan Para Asia dengan jarak 5.20 meter.

Dalam pada itu, Khairy berkata pemberian insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada atlet Paralimpik dan Olimpik akan diadakan serentak pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Saya masih menunggu tarikh daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk mengadakan majlis pemberian SHAKAM itu nanti,” katanya.

- Advertisement -