tganu.perak

Oleh Muhammad Aiman

Deretan keputusan buruk, mengubah status Terengganu selaku pencabar kejuaraan kepada pasukan yang kini bergelut dengan prestasi malah berpotensi tergelincir ke zon penyingkiran jika berterusan tampil dengan aksi lesu.

Empat kekalahan berturut-turut bermula dengan kekalahan besar di gelanggang sendiri kepada Felda United, menyaksikan Sang Penyu yang disebut sebagai satu daripada pasukan tumpuan Liga Super musim ini menghuni tangga kelapan liga dengan hanya mengutip sembilan mata dari sembilan perlawanan.

Senario ini memaksa Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu yang sedang hebat ditekan oleh kerajaan negeri, untuk melakukan rombakan pada pasukan apabila pintu perpindahan kedua dibuka pada Jun nanti, seandainya tiada sebarang perubahan positif ditunjukkan.

Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Mazlan Ngah menegaskan, “Kita tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan mana-mana pemain sama ada tempatan mahupun import sekiranya gagal mencapai tahap prestasi sepertimana ditetapkan dalam Aras Pencapaian Pasukan, selain memotong gaji mereka.”

Tambahnya, “Kita telah memberikan mereka surat amaran. Kita akan meneliti prestasi pemain pada baki dua perlawanan lagi dan jika masih gagal, satu lagi surat amaran akan dikeluarkan dan perlu diperbaiki dalam masa tujuh hari sebelum tindakan diambil.”

Mazlan berkata PBSNT sudah sekian lama bertolak ansur dengan kemerosotan mendadak pasukan yang muncul juara Piala FA 2011 itu dan surat amaran itu adalah bertujuan untuk memastikan barisan pemain sang penyu dapat mengembalikan semula pasukan itu ke landasan kemenangan seterusnya memulihkan reputasi yang tercalar teruk.

Baki aksi pasukan Terengganu dalam pusingan pertama Liga Super adalah menentang Sarawak (4 Mei) dan pasukan ‘adik’ T-Team pada 18 Mei.

Untuk rekod, Terengganu adalah pasukan pertama Liga Malaysia musim ini yang membuat keputusan merehatkan jurulatih apabila merehatkan Ahmad Yusoff selepas hanya tiga perlawanan dan menggantikannya dengan Mike Mulvey.

Mulvey memulakan tugas selaku ketua jurulatih dengan kekalahan kepada Johor Darul Takzim namun kemudiannya menewaskan Pahang dan Selangor. Namun, Terengganu selepas itu mengalami empat kekalahan berturut-turut kepada Felda, PDRM, Perak dan Kelantan. 

- Advertisement -