Malaysia menamatkan kemarau emas 11 tahun dalam acara lompat bergalah di pentas Sukan SEA menerusi Nor Sarah Adi yang menaiki podium selaku juara bagi acara ini yang berlangsung di Stadium My Dinh, Vietnam.

Lompatan setinggi 4.00 meter memastikan namanya kekal di kedudukan teratas untuk memastikan kalungan pingat menjadi milik atlet berusia 22 tahun itu.

Beliau sepatutnya mengambil bahagian dalam acara 4x100m namun ditambah untuk beraksi dalam acara lompat bergalah.

Lompatan itu mengatasi Chonticha Khabut dari Thailand yang melakukan lompatan 3.80m dan Alyana Martinez dari Filipina (3.60m), masing-masing meraih perak dan gangsa.

Atlet berasal dari Pahang itu, kemudian membantu kuartet 4x100m wanita untuk meraih pingat gangsa.

Gandingan Nor Sarah dengan S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias mencatatkan 45.32 saat (s) manakala Thailand (44.39s) dan Vietnam (45.25s) meraih dua tempat teratas.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara lompat bergalah wanita adalah pada edisi 2011 di Indonesia menerusi Roslinda Samsu, yang muncul juara dengan mencatatkan rekod kejohanan 4.20m ketika itu.

Sementara itu, kuartet 4x100m lelaki turut berjaya mempamerkan aksi yang terbaik apabila merangkul perak dengan memecahkan rekod kebangsaan acara itu.

Gandingan mantap Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang menerima gelaran Usain Bolt Malaysia, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki Muhammad Haiqal Hanafi berjaya menamatkan larian dalam masa 39.09s.

Rekod terdahulu adalah 39.27s yang dicatatkan oleh kuartet Nixson Kennedy, Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan dan Russel Alexander Nasir Taib pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Thailand berjaya mempertahankan pingat emas dengan mencatatkan rekod kejohanan yang baharu dengan 38.58s, mengatasi rekod sendirinya 38.90s yang dilakukan di edisi KL 2017, manakala Singapura meraih gangsa dengan larian 39.44s.

Terdahulu pada acara 800m wanita, Savinder Kaur Joginder Singh berjaya meraih gangsa dengan catatan masa 2:10.240s, di belakang peserta tuan rumah Anh Khuat Phuong (2:08.740s) dan Agustina Mardika (2:09.90s) dari Indonesia.

 

- Advertisement -