felda.celebrate

Oleh Muhammad Aiman

Felda United dan Johor Darul Takzim terus bersaing hebat di puncak Liga Super, namun ianya pasukan tangga tercorot Sarawak yang mencuri tumpuan aksi terakhir pusingan pertama liga apabila melakar kemenangan dramatik ke atas Perak di Kuching sekaligus merampas tiket terakhir beraksi di Piala Malaysia.

Di Stadium Negeri, Sarawak yang pertama kali beraksi di bawah sentuhan David Usop menundukkan  Perak 3-2, terima kasih kepada jaringan Tommy Mawat lapan minit sebelum tamat permainan.

Tuan rumah sebelum itu dua kali mendahului menerusi Ndumba Makeche dan Gilmar Silva, dengan Perak membalas menerusi Fazrul Hazli Kadri dan sepakan penalti Elias Fernandez untuk mengikat kedudukan 2-2.

Kemenangan ini bukan sahaja kemenangan pertama Bujang Senang di gelanggang sendiri musim ini tetapi dalam masa sama turut memastikan mereka keluar dari tangga tercorot dengan penuh dramatik, melonjak dua tangga ke tangga kesepuluh dengan sembilan mata.

Kemenangan buat Sarawak, hadir sebagai berita duka buat Pulau Pinang yang tergelincir ke tangga tercorot seterusnya gagal mara ke saingan Piala Malaysia, setelah kecundang 1-2 kepada Felda United di Stadium Bandaraya.

Gol sepakan penalti minit akhir Reinaldo Lobo tidak memadai buat Harimau Kumbang mengelakkan kekalahan ketujuh mereka musim ini kepada Felda yang beroleh dua gol menerusi Francis Forkey Doe dan Hadin Azman.

Tiga mata yang diraih malam ini membolehkan Felda United mengumpul 27 mata, mendahului carta liga menerusi beza jaringan ke atas JDT yang cemerlang menundukkan Pahang 3-0 di Larkin.

Amirulhadi Zainal meraikan kepulangannya ke skuad kebangsaan menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-55, manakala bintang import Juan Martin Lucero menambah dua jaringan pada minit ke-62 (penalti) dan 64.

Sementara di Shah Alam, Kelantan yang beraksi dengan 10 pemain untuk hampir 60 minit berjaya membawa pulang satu mata setelah mengikat tuan rumah Selangor dengan keputusan seri tanpa jaringan.

The Red Warriors yang pertama kali beraksi di bawah bimbingan pengendali Velizar Popov kehilangan khidmat Wan Zack Haikal yang dilayangkan kad merah pada minit ke-33 namun Selangor gagal mengambil kesempatan situasi tersebut.

Keputusan seri tidak mengubah kedudukan Selangor di tempat ketiga manakala Kelantan juga kekal di tangga keenam.

Di Kuala Terengganu, pertembungan antara dua pasukan berjiran, Terengganu dan T-Team turut berkesudahan seri tanpa jaringan manakala Kedah pula melonjak ke tangga kelima setelah menundukkan PDRM 2-0 di Alor Star menerusi dua jaringan Carlos Kahe. 

- Advertisement -