Oleh Muhammad Aiman
Pelumba muda Jepun, Ayumu Sasaki bakal bergandingan dengan pelumba negara, Adam Norrodin apabila menjadi pilihan pasukan Drive M7 SIC Racing untuk menggantikan Jakub Kornfeil dalam perlumbaan Moto3 musim depan.
Sasaki, pelumba kelahiran Kanagawa telah menunjukkan prestasi meningkat naik sejak beberapa tahun lalu, muncul sebagai pemenang keseluruhan Red Bull Rookies Cup tahun ini setelah berkesudahan di tempat ketiga siri tersebut tahun lalu.
Dia juga telah muncul juara Asia Talent Cup (ATC) pada tahun lalu dan menduduki tempat keempat pada 2014 justeru tidak sabar untuk menghadirkan impak dalam perlumbaan Moto3 nanti.
“Sudah tentu, berlumba pada musim pertama (musim depan) akan menjadi sedikit sukar buat saya. Saya perlu banyak belajar. Saya mensasarkan berada di kedudukan 10 teratas dalam semua perlumbaan, saya akan bekerja keras membuat latihan sewaktu musim bercuti untuk mempersiapkan diri bagi perlumbaan pertama di Qatar (Mac),” kata Sasaki yang juga kawan baik Adam.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata Sasaki menjadi pelumba pilihan utama dicadangkan oleh Honda, pembekal jentera pasukan itu serta pemegang hak MotoGP, Dorna bagi menggantikan Kornfeil yang akan mewakili Peugeot Saxoprint musim depan.
Sasaki, Adam, Kornfeil dan Razlan mengambil bahagian dalam sesi berbasikal di SIC pagi tadi – ia adalah antara aktiviti yang dirancang sebagai persiapan menghadapi perlumbaan MotoGP Shell Malaysia yang bermula esok.
Antara pelumba lain yang turut menyertai aktiviti tersebut adalah Hafizh Syahrin Abdullah, Dani Pedrosa, Alex Espagaro, Stefan Bradl, Alvaro Bautista, Danilo Petrucci dan Pol Espagaro bersama-sama pelumba basikal kebangsaan, Fatehah Mustafa.