Atlet yang membawa cabaran di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan dikumpulkan dalam satu latihan pusat bertempat di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur bermula 4-10 Ogos depan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan venue pertandingan dan penginapan.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, fokus latihan pusat ini juga adalah memberi dan meningkatkan motivasi di kalangan atlet.
“Kita telah rancang beberapa sesi, kita adakan motivasi bagi meningkatkan keyakinan dan semangat juang mereka bagi menghasilkan kejayaan cemerlang di temasya itu nanti, seterusnya memenuhi harapan besar jutaan rakyat Malaysia yang mahu melihat kita muncul juara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara pada Khamis.
Tambah Shapawi lagi, pada hari terakhir kem itu, senarai statistik terperinci barisan atlet dalam kontijen negara serta sasaran pingat yang diletakkan terhadap mereka akan diumumkan dan ianya akan disusuli dengan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontijen Sukan SEA dan Para ASEAN negara disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Ditanya mengenai keyakinan tinggi juara bertahan Thailand yang meletakkan 100 pingat emas sebagai sasaran, Shapawi berkata setiap negara pastinya hadir dengan perancangan serta sasaran tersendiri dan membuat persiapan terbaik bagi mencapai sasaran ditetapkan.
Apapun, beliau optimis persiapan kontijen negara turut berada dalam landasan tepat dan setiap atlet sudah bersedia untuk berdepan dengan cabaran.
“Sudah tentu kita perlu mendapat jumlah pingat yang lebih baik dari 111 yang kita menangi di KL 2001 jika berhasrat mahu muncul juara. Jika Thailand kata mahu menang 100, kita perlulah untuk menangi jumlah pingat yang relevan dan tidak boleh berpuas hati dengan 50-60 emas. Hendak tahu jumlah sebenar kita sasarkan, tunggu 10 Ogos nanti,” kata Shapawi. – OLEH MUHAMMAD AIMAN