Tempoh lanjutan yang diberikan oleh Malaysian Football League (MFL) bagi Perak untuk menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan sehingga 29 April ini telah mengundang kelegaan buat pegawai dan pemain Perak FC.
Menurut ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, beliau berterima kasih dengan keputusan yang dibuat MFL melalui First Instance Body(FIB) yang masih sudi memberikan peluang kedua buat pengurusan menyelesaikan segala urusan pemindahan pemilikan.
Justeru, beliau mengharapkan pihak pengurusan Perak FC dapat menggunakan kesempatan yang telah diberikan demi memastikan nama Perak tidak terkubur dari peta bola sepak Malaysia.
” Kami amat memerlukan bantuan sebegini daripada MFL kerana semua orang tahu,hanya bola sepak sahaja periuk nasi buat pemain serta pegawai.
” “Harap tempoh lanjutan seminggu yang diberikan dapat digunakan sepenuhnya oleh pengurusan Perak FC untuk memuktamadkan pemindahan pemilikan,” katanya.
MFL melalui satu kenyataan media pada Khamis menyatakan “First Instance Body” (FIB) telah membuat keputusan meluluskan permohonan Perak FC untuk lanjutan masa bagi memberi ruang pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan.
Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir, selepas meneliti dan menperhalusi permohonan Perak FC pada 18 April 2022, pihak Jawatankusa FIB memberikan ruang untuk pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan segala proses rundingan bersama pemilik baharu sehingga 29 April 2022.
Dalam masa sama, Yusri akui sambutan hari raya buat pemain serta pegawai musim ini seperti tidak memberikan sebarang erti namun pemakluman oleh MFL pada semalam seolah-olah mampu memberikan sinar di hujung terowong terhadap isu tunggakan gaji.
” Sambutan Hari Raya Aidilfitri kian dekat namun saya suasana sangat sedih sedang dirasai oleh kami semua di Perak FC.
” Harap akan ada jalan penyelesaian terhadap pertukaran pemilikan pasukan ini setelah peluang kedua diberikan oleh MFL dan pemain boleh mendapat sesuatu sebelum Hari Raya dari pengurusan baharu.
” Saya juga menyeru kepada pengurusan Perak FC jangan ambil saat akhir untuk melangsaikan semua proses,” katanya.