Juara Kejohanan Dunia, Loh Kean Yew menegaskan beliau masih individu yang sama meskipun berjaya menutup tirai 2021 dengan cukup bergaya.
Loh Kean Yew menggegar arena badminton dunia apabila muncul juara Kejuaraan Dunia yang berlangsung di Sepanyol tahun lalu bermula dengan kejayaan menundukan pilihan kedua, Viktor Axelsen di pusingan pertama sebelum muncul juara dengan menewaskan K Srikanth dipentas final.
Bagi Kean Yew, 2022 adalah permulaan yang baharu buat dirinya dan pemain berusia 24 tahun menjelaskan segalanya akan bermula dari angka ‘0’.
Kean Yew antara pemain tumpuan yang beraksi di saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang akan memulakan saingannya pada 15 Februari di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
TEMUBUAL LOH KEAN YEW SELEPAS SESI LATIHAN
Kean Yew tidak menolak pertemuan dengan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bakal menjadi tumpuan dalam saingan BATC 2022 nanti, namun beliau tidak mahu meletakkan sebarang sasaran khusus kerana kejohanan ini merupakan acara berpasukan.
Apa yang penting, Kean Yew akan memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan Singapura mencapai keputusan sebaik mungkin.
Kean Yew tidak menolak untuk kembali berlatih dengan Viktor Axelsen di Dubai, namun segalanya bergantung kepada ruang yang diberikan oleh Persatuan Badminton Singapura.
Mengulas tentang statusnya sebagai juara dunia, Loh Kean Yew menjelaskan beliau masih individu yang sama dan bagi tahun 2022, beliau akan kembali bermula dari ‘0’.