Tuan rumah Sukan SEA 2023, Kemboja ternyata ‘teruja’ malah bersemangat terhadap persiapan meskipun masih mempunyai tempoh masa yang panjang untuk melakukan persiapan.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2023 Kemboja (CAMSOC) mengorak langkah memperkenalkan logo bagi temasya Sukan SEA edisi ke 32 dan Para ASEAN 2023.

Laporan media tempatan, Khmer Times, “Sport Into Peace” turut dipilih sebagai tema bagi temasya dwi tahunan itu.

Pengumuman tentang logo dan motto bagi Sukan SEA 2023 dilakukan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kemboja (NOCC) Vath Chamroeun yang juga merupakan Setiausaha CAMSOC ketika mesyuarat organisasi itu pada 2 Julai lalu.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Pertahanan, Tea Banh yang juga Pengerusi CAMSOC dan Menteri Pelancongan yang juga Presiden NOCC, Thong Khon.

Motto temasya menggambarkan perjalanan Kemboja yang dahulunya bergelut dari pelbagai aspek sehinggalah dilihat pada masa kini sebagai salah satu negara yang disegani di rantau Asia Tenggara.

Kemboja bergelut dengan pelbagai konflik sejak 1960-an sehingga 1990-an sebelum proses pembangunan terutama sektor ekonomi yang berkembang dengan pesat.

Logo pula memperlihatkan dua ikon terkenal negara itu, Angkor Wat dan empat ekor naga berbeza warna menandakan 11 buah negara dalam ASEAN.

Logo rasmi, maskot dan motto bagi temasya Sukan SEA dan Para ASEAN akan diperkenal secara rasmi kepada awam pada 7 Ogos depan sekaligus menandakan detik 1000 hari sebelum temasya bermula.

Pertandingan mencipta logo dan maskot telah dilancarkan pada Ogos tahun lepas.

Meskipun global sedang berdepan dengan pandemik Covid 19, CAMSOC tetap meneruskan kerja kerja persiapan.

Wakil wakil CAMSOC mengadakan perbincangan setiap minggu untuk membentangkan perkembangan semasa pesiapan Sukan SEA 2023 termasuk pembinaan Stadium Nasional Techno Morodok dan jalan raya dari bandar Phnom Penh ke stradium tersebut yang menelan kos sekitar $200 juta

2023 menjadi detik bersejarah buat kemboja apabila menjadi tuan rumah temasya terbesar di Asia Tenggara buat pertama kali selepas gagal melakukannya pada 1963 susulan masalah politik di negara itu.

- Advertisement -