Pelumba kelahiran tempatan Loh Sea Keong yang menyarung jersi pasukan benua, Thailand Continental Cycling Team tetap berazam untuk mengekalkan gerakan sinonim dengannya – pemecahan awal (early breakaway) dalam jelajah Le Tour de Langkawi 2018 ini, biarpun beliau tidak berada dalam kecergasan maksimum.
Pelumba negara pertama yang mencipta sejarah tersendiri bergelar pelumba profesional bersama pasukan bertaraf WorldTour Giant-Shimano pada 2014 itu mengakui dia sepatutnya perlu berehat selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan pada Ogos tahun lalu.
Dinasihatkan doktor supaya berehat sehingga lapan bulan kerana perlu menjalani pembedahan dan proses pemulihan, Sea Keong bagaimanapun tidak dapat membayangkan akan terlepas peluang untuk berkayuh dalam edisi ke-23 Le Tour de Langkawi 2018, 18-25 Mac ini.
Malah pelumba yang kini berusia 32 tahun itu turut sibuk dengan majlis perkahwinannya dengan seorang wanita Thailand pada bulan lalu.
“Kali terakhir saya berlumba ialah pada bulan Jun tahun lalu. Kemudian saya mengalami kemalangan ketika berlatih dan terpaksa dibedah. Saya juga perlu menjalani proses pemulihan dan pada masa sama, sibuk dengan persiapan untuk perkahwinan.
“Tetapi, saya tak dapat terima hakikat terlepas peluang untuk mewakili pasukan dan berlumba di tempat kelahiran sendiri. Sebab itulah, walaupun sibuk dengan pelbagai perkara, saya tetap menjalani latihan bersendirian untuk meningkatkan tahap kecergasan secara perlahan-lahan.
“Bersama Thailand Continental Cycling Team ini, kami yakin akan meraih keputusan lebih baik kerana tonggak pelumba pasukan ini adalah terdiri daripada pelumba yang menyertai Tour of Indonesia dan meraih keputusan yang bagus pada bulan lalu.
“Malah hati dan kaki saya sentiasa bersedia untuk melakukan aksi trademark saya iaitu membuat pemecahan awal. Jika ada peluang dan keadaan mengizinkan, saya pasti akan melakukannya lagi.
“Siapa tahu, dengan status baru bergelar seorang suami, mungkin saya lebih bertuah tahun ini,” kata pelumba kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu yang diakui seorang pelumba cekal dan combative dalam setiap perlumbaan yang disertainya.
Thailand Continental Cycling Team kali ini turut dibarisi pelumba berdarah kacukan Perancis-Laos, Ariya Phounsavath dan empat pelumba kelahiran Thailand, Peerapol Chawchiangkwang, Turakit Boonratanathakorn, Phuchong Saidomsin dan Sarawut Sirironnachai.
Peerapol memenangi Peringkat 4 Tour of Indonesia manakala Ariya dinobatkan juara individu keseluruhan, 17 saat di depan Peerapol yang menduduki tempat kedua keseluruhan.
Sea Keong berkata, Ariya sudah pasti menjadi sandaran buat pasukan itu untuk mencabar jersi kuning manakala Turakit juga mempunyai gaya yang hampir sama dengannya iaitu gemar melakukan pemecahan awal.
“Pelumba pasukan ini sedang berada pada tahap kecergasan yang baik susulan perlumbaan di Indonesia tempoh hari (25-28 Januari). Kami mempunyai peluang cerah untuk mempamerkan kemampuan sebenar.
“Saya menganggap pasukan Thailand Continental Cycling Team kali ini lebih baik, malah tidak keterlaluan saya katakan kami adalah antara pasukan yang baik di rantau Asia Tenggara ini, malah di Asia.
Dengan dua pasukan berstatus WorldTour dan beberapa pasukan pro-benua, Sea Keong berkata setiap peringkat perlumbaan memberi peluang berbeza kepada pelumba dan pasukan dan hanya pasukan yang bersedia mental dan fizikal serta mempunyai percaturan yang tepat mampu bergelar pemenang.
“Sudah pasti setiap perlumbaan mempunyai cabaran dan berdasarkan pasukan yang tersenarai dalam LTdL 2018 ini, cabaran pasti sengit tetapi kami akan cuba melakukan kejutan,” kata Sea Keong ketika diminta mengulas kedudukan ke-11 berpasukan keseluruhan yang dicapai pada edisi tahun lalu.
Perlumbaan lapan peringkat bagi LTdL 2018 dijadual bermula di Kangar, Perlis pada 18 Mac, dua hari selepas Majlis Pengenalan Pasukan di Pulau Langkawi (16 Mac) dengan perlumbaan dijangka tamat di Kuala Lumpur pada 25 Mac.
Sejumlah 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan WorldTour, Pro Benua, Benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan dalam edisi LTdL 2018 yang meliputi jarak keseluruhan 1,341km, melibatkan lapan negeri negeri di Semenanjung Malaysia.
Jelajah LTdL berstatus 2.HC dianjurkan Ciclista Sports dengan kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan.