Selangor melengkapkan aktiviti di pasaran perpindahan kedua Liga Malaysia yang ditutup pada Ahad dengan membawa masuk seorang lagi pemain import, Rufino Segovia.

Penyerang dari Sepanyol itu berpengalaman mewakili beberapa pasukan dalam Liga Divisyen Tiga negaranya dan pada musim lalu bermain untuk kelab Hong Kong, Kitchee FC.

Dia akan menggantikan tempat pemain tengah dari Timor Leste, Juliano Mineiro yang digugurkan kerana masalah kecergasan dan kehadirannya dilihat sebagai satu daripada usaha P.Maniam memperbaiki ketumpulan sentuhan penyudah skuad Red Giants.

Tanpa penjaring terbanyak musim lalu, Patrick Ronaldinho serta penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri yang berhijrah ke Johor Darul Takzim, juara Piala Malaysia 2015 itu hanya meledak 17 gol dalam saingan liga selepas 13 perlawanan.

Kelibat Francis Forkey Doe, Adam Nor Azlin, Afiq Azmi dan Nursyamil Ab Ghani tidak begitu menyengat di depan gol dan disebabkan itu juga, Selangor sebelum ini (juga di jendela perpindahan kedua) telah membawa masuk penyerang veteran Amri Yahyah dari Melaka United selain mendapatkan semula khidmat pemain sayap import, Andik Vermanshah. 

Andik yang tidak didaftarkan pada awal musim kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) akan menggantikan tempat seorang lagi pemain import, Gustavo Astafei.

Maniam berkata dengan kehadiran trio pemain ini, dia berharap ia dapat merubah nasib Selangor dalam kempen Liga-M musim ini. Ketika ini mereka berada di kedudukan kelima Liga Super dan akan memulakan misi memburu Piala Malaysia ke-34 pada Julai, di mana mereka berada sekumpulan dengan JDT, Sarawak dan Terengganu.

“Adanya Segovia, Amri dan Andik memberikan saya lebih pilihan di serangan, tetapi saya terlebih dahulu perlu menguji kombinasi dan keserasian di antara pemain-pemain barisan depan. Buat masa ini saya telah merancang perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan PDRM dan mungkin akan mengatur satu lagi perlawanan.

“Amri adalah pemain yang berpengalaman luas, jadi dia tidak akan mengambil masa lama untuk sesuaikan diri. Saya perlu beri lebih banyak masa bermain kepada Segovio dan Andik yang kembali dari kecederaan. Apabila dia cergas sepenuhnya saya percaya dia akan menjadi ancaman buat pasukan lawan,” kata Maniam. 

Selangor akan menyambung semula baki aksi Liga Super dengan menentang T-Team pada 1 Julai di Stadium Selayang sebelum berdepan Terengganu (4 Julai) dan Sarawak (7 Julai) dalam aksi Piala Malaysia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -