selangor.hockey

Oleh Muhammad Aiman

Naib juara musim lalu, Selangor akan membuka tirai aksi Divisyen Dua Kejohanan Hoki Piala Razak 2016 pada Sabtu, dengan menentang Kedah.

Jurulatih Selangor, S.Velappan menyenaraikan enam muka baru di dalam skuad 18 pemain kali ini dalam usaha pasukannya memburu gelaran juara dan kembali beraksi di Divisyen Satu, seterusnya menebus kecewa pada edisi yang lalu.

Enam pemain baru yang disenarai bagi membawa cabaran Selangor adalah Norikhwan Nor Rahman, Nurasyraf Rosli, Rifdi Syimir, Ikmal Abdul Jabar, Rafizul Ezry dan penjaga gol Hazrul Faiz.

Manakala 12 pemain dikekalkan Vellapan yang membawa Melaka menjuarai Divisyen Satu tahun lalu antaranya adalah Muhammad Nor Faez Ibrahim, Harmesh Singh, Amerullah Aziz, Faridzul Afiq dan Zulfadli Isa.

Pada edisi ke-53 tahun lalu, Selangor dinafikan tiket ke Divisyen Satu walaupun hanya selangkah sahaja lagi untuk melakukannya setelah tewas 2-6 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi final Divisyen Dua.

Mereka sebelum itu gah mengetepikan tentangan Kedah, Kelantan, Perlis dan ATM dalam aksi peringkat kumpulan.

Menariknya, untuk saingan kali ini yang akan berlangsung dari 21-29 Mei, Selangor perlu terlebih dahulu mengetepikan cabaran trio dari utara kerana selain Kedah, turut menanti mereka adalah Perlis (22 Mei) dan Pulau Pinang (24 Mei) dalam aksi Kumpulan A manakala Kelantan, Sarawak, Sabah dan Tentera berentap dalam Kumpulan B.

Kali terakhir Selangor beraksi di Divisyen Satu adalah pada 2014 setelah menjuarai Divisyen Dua 2013 justeru Velappan sudah tentunya mengharapkan barisan pemainnya boleh mengulangi pencapaian itu.

Sementara itu, bagi saingan membabitkan pasukan wanita yang pertama kali dipertandingkan di edisi ke-54 ini, Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Sarawak, Pahang, Johor dan PDRM.

Aksi pertama skuad bimbingan Wan Samsuri Wan Hassan adalah menentang Sarawak pada awal pagi Sabtu, sebelum melayan Pahang pada 22 Mei diikuti Johor (23 Mei) dan PDRM (24 Mei).

Wan Samsuri menyenaraikan hanya enam pemain melebihi usia 20 tahun di dalam skuadnya, dengan majoriti pemain lain adalah pemain muda yang menganggotai skuad juara Kejohanan Hoki Wanita B-16 tahun lalu seperti P.Revathi, Ellya Amanina Elias, Nurul Aida Abd Razak, Siti Nur Aliah Amirudin dan Zafikah Zainudin.

- Advertisement -