Juara lima kali, Selangor mara ke final Piala FA buat kali kelapan dengan menyingkirkan seteru setempat, PKNS FC di peringkat separuh akhir.
Bekalan empat gol yang dibawa hasil kemenangan pada aksi pertama nyata memberi kelebihan kepada Red Giants yang mara dengan agregat 5-1 setelah aksi timbal balik di Stadium Shah Alam pada Sabtu berkesudahan seri 1-1.
Sebelum perlawanan bermula, timbul keraguan akan keupayaan skuad Nazliazmi Nasir menangani tekanan dan mempertahankan kelebihan besar milik mereka itu, dikhuatiri situasi sama yang berlaku ketika peringkat suku akhir kembali berulang.
Ketika itu, Selangor membawa bekalan selesa 3-0 ke atas Kuala Lumpur hasil kemenangan pada perlawanan pertama namun tewas pada perlawanan timbal balik dengan jaringan sama, sehingga memaksa pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Malah beberapa kali juga pada musim ini barisan defensif mereka melakukan kesilapan dan melepaskan gol-gol mudah namun semuanya lebih ‘terkawal’ kali ini.
Nazliazmi tidak mengambil sebarang risiko dengan merehatkan mana-mana pemain utama, sebaliknya tetap turun dengan kekuatan penuh dan setelah separuh masa pertama tamat tanpa jaringan, Rufino Segovia menjaringkan gol pembukaan buat Selangor pada minit ke-72 untuk kedudukan agregat 5-0.
Skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal yang mara ke final pada edisi 2016 bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Alif Haikal Mohd Sabri pada masa kecederaan namun ia tidak lebih dari sekadar gol saguhati buat tuan rumah.
Ini adalah kali pertama Selangor melangkah ke final selepas sembilan tahun, iaitu ketika mereka menjulang Piala FA pada 2009 dengan menewaskan Kelantan menerusi sepakan penalti.
Dalam aksi final pada 7 Julai nanti, Selangor akan bertemu pemenang di antara perlawanan Pahang dan PKNP yang akan berentap pada Ahad. MUHD AIMAN