Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar mengalu-alukan keputusan untuk menambah kuota (1) pemain import bagi pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF).

Selangor FC termasuk dalam pasukan yang akan berentap di pentas ACL 2 untuk musim 2024/2025 sekali gus dibenarkan mendaftar tambahan satu (1) pemain import menjadikan keseluruhan 10 pemain import.

Juga, dengan kuota 6 pemain import di atas padang iaitu (4+1 (Asia)+1 (Asean) turut menyaksikan perlawanan yang lebih sengit dapat dipersembahkan untuk musim baharu ini di mana Shahril percaya ia merupakan perkembangan positif untuk Liga Malaysia.

Namun, ketegasan beliau adalah bagaimana pasukan-pasukan yang terlibat ini akan mengendalikan bajet yang sepatutnya sekiranya ingin mengikat 10 pemain import pada musim ini.

“Keputusan ini saya amat mengalu-alukan sebab bagi saya tidak banyak beza pun daripada 9 pemain import sebelum ini dan sekarang 10 pemain import.

“Cumanya kelebihan satu lagi pemain import tambahan sepatutnya diambil positif oleh kelab-kelab yang terbabit untuk menggunakan peluang yang ada ini.

“Tetapi akhirnya kita juga kena tengok pada bajet secara keseluruhan dan apa-apa pun saya memang nampak ini adalah perkembangan positif untuk kelab-kelab yang bertanding”, jelasnya.

Dalam masa yang sama, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pula menyifatkan setiap pasukan perlu bijak untuk membentuk pasukan dengan kelebihan enam pemain import yang dibenarkan berada di atas padang selain turut tidak mengabaikan potensi pemain tempatan.

Setelah permintaan pasukan untuk menambah slot pemain asing atas padang diterima MFL, Datuk Ong Kim Swee juga berkata, baginya, selaku jurulatih, amat penting untuk beliau menilai keperluan pasukan masing-masing dalam memilih kesebelasan terbaik tidak kira pemain import atau pun tempatan.

“Sudah tentu apabila 6 pemain import dibenarkan di atas padang, selebihnya adalah untuk pemain tempatan dan saya perlu tahu apa yang terbaik untuk kelab saya.

“Saya juga perlu memikirkan solusi terbaik untuk membentuk kesebelasan utama sebab saya turut ingin melihat pemain-pemain tempatan beraksi”, jelasnya.

Terdahulu, MFL mengekalkan kuota sembilan (9) pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu (1) pemain import.

Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab-kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

Ini menyaksikan kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah 6 pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang lagi pemain import di bangku simpanan.

- Advertisement -