Oleh Muhammad Aiman
Selangor membuktikan krisis pengurusan ketika pra-musim tempoh hari tidak menjejaskan konsentrasi para pemain apabila membuka tirai musim baru Liga Super dengan langkah kanan hasil kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Selayang, pada Sabtu.
Skuad bimbingan P. Maniam mengetepikan segala keraguan mengenai kekuatan mereka gara-gara kehilangan lebih separuh daripada tonggak musim lalu, dengan adunan pemain muda dan berpengalaman yang diturunkan berjaya tampil dengan aksi meyakinkan.
Gol pertama Red Giants hadir pada minit ke-34 selepas Adam Nor Azlin menyudahkan bola yang ditampan Syed Adney Syed Hussein hasil percubaan awal Ugochukwu Ukah sebelum bekas penjaring terbanyak Liga Super, Francis Forkey Doe menjadikan kedudukan 2-0 sepuluh minit kemudian.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus membolehkan Selangor melonjak sebagai pendahulu minggu pertama Liga Super 2017.
Dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, jaringan tunggal penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha memastikan tuan rumah Felda United turut bermula dengan nota kemenangan dengan menewaskan pendatang baru PKNS FC 1-0.
Setelah beberapa kali gagal memecah kebuntuan, Norshahrul merembat masuk menewaskan penjaga gol, Muhammad Nur Haziq pada minit ke-68 setelah menerima hantaran Fazrul Hazli Kadri untuk gol kemenangan Felda United.
Perlawanan di Stadium Ipoh pula menyaksikan pertemuan di antara dua pasukan yang dilabel pilihan mencabar kejuaraan, Perak dan Pahang berkesudahan seri 1-1.
Skuad Tok Gajah terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Ahmad Shamim Yahya pada minit ke-56 sebelum Perak kendalian Karl Heinz Weigang bangkit mengikat kedudukan menerusi Thiago Junior Aquino untuk menyelamatkan satu mata di laman sendiri.
Di Kuala Terengganu, T-Team gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila turut mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sarawak.
Norhakim Hassan meletakkan The Titans mendahului 1-0 empat minit selepas bersambung babak kedua namun kelebihan itu gagal dipertahankan apabila sang Bujang Senang bangkit mengikat kedudukan menerusi sentuhan Mateo Roskam yang menyempurnakan hantaran Mark Hartmann pada minit ke-80.
Terdahulu dalam perlawanan berlangsung Jumaat, pertemuan antara juara Liga Super, Johor Darul Takzim dan Kedah juga berkesudahan seri 1-1.
Hanya satu perlawanan iaitu di antara Kelantan dan Melaka tidak berlangsung hari ini setelah ianya ditunda ke tarikh lain kerana padang ditakungi air.