Oleh Muhammad Aiman
Selangor meletakkan sasaran untuk merampas semula pingat emas sukan bolasepak di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang akan berlangsung pada pertengahan bulan ini sekaligus menamatkan kemarau panjang 18 tahun mereka di kejohanan dwitahunan itu.
Selangor kali terakhir menang emas SUKMA ketika mereka menjadi tuan rumah pada 1998, dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di final dan jurulatih, Omar Ali berkata skuad Selangor yang rata-ratanya dibarisi pemain Piala Presiden berusia 18 tahun bersemangat tinggi untuk mengulangi pencapaian itu meskipun menyedari ia bukan tugas mudah.
“Kita mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah ketika itu (1998), beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Shah Alam dan muncul juara. Kali ini cabarannya sudah tentu berbeza, kita membawa pemain muda dan menjadikan keadaan lebih sukar, kita berada dalam kumpulan yang sengit,” ujar Omar yang merupakan jurulatih skuad juara 1998.
13 pasukan negeri – kecuali Kelantan yang menarik diri – akan berentap dalam empat kumpulan bermula 19 Julai untuk merebut ‘ibu’ segala pingat emas itu, dengan Selangor berada di dalam Kumpulan A bersama finalis 2014 Johor, Melaka dan Perlis.
Mengenai barisan pemain yang akan mengalas cabaran di Sarawak, Omar berkata dia akan memuktamadkan senarai akhir pada minggu ini sambil berharap agar pemain yang disenarai menggunakan sebaiknya peluang dan kepercayaan, dalam masa sama meraih pengalaman berguna.
Omar bagaimanapun membidas tindakan beberapa persatuan yang menyenaraikan pemain beraksi dalam Liga Malaysia dalam skuad mereka.
“Kebanyakan pasukan mungkin memilih untuk menyenaraikan pemain skuad Liga Malaysia yang berusia di bawah 21 tahun. Saya rasa itu bukan tindakan yang betul kerana objektif SUKMA adalah mencungkil bakat dan platform bagi pemain yang baru mahu menapak mencipta nama dalam arena bolasepak tanah air,” katanya.
Antara pemain tumpuan dalam skuad SUKMA Selangor adalah pemain sayap berusia 18 tahun, Syahmi Safari yang baru sahaja pulang dari menjalani latihan selama tiga minggu di Jepun bersama skuad B-22 kebangsaan kendalian Frank Bernhadt.