Oleh Muhammad Aiman
Seperti diramal, dua finalis musim lalu Selangor dan Kedah sekali lagi melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia setelah menyingkirkan lawan masing-masing di separuh akhir yang berlangsung Sabtu.Â
Selangor bimbingan K.Gunalan mara setelah menewaskan pasukan berstatus kelab T-Team 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Walaupun beraksi di gelanggang lawan, The Red Giants tampil yakin apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan menerusi R.Gopinathan dan pemain pertahanan Ugochukwu Ukah sebelum menambah jaringan ketiga pada minit akhir menerusi Andik Vermansyah untuk mara dengan agregat 5-1.
“Sebenarnya kita boleh beraksi dengan lebih baik, selepas menjaringkan dua gol awal, kita mengendurkan asakan dan memberi ruang kepada T-Team untuk bangkit mengawal perlawanan tetapi sudah tentunya saya berpuas hati dan cukup gembira untuk menang dengan tiga gol di tempat lawan dan melangkah ke final sekali lagi.,” kata Gunalan. Â
Manakala bagi Rahmad Dermawan, “Gol awal itu menjejaskan momentum kita. Pada ketika kita cuba susun balik permainan, kita bolos gol kedua menerusi kesilapan mudah dan moral pemain terjejas teruk.
“Walaupun kita dapatkan balik rentak dan berjaya kuasai perlawanan selepas itu dengan melakukan beberapa serangan, entah mengapa semuanya serba tidak menjadi pada hari ini selain penjaga gol Selangor (Khairul Azhan) bermain cemerlang. Kita tewas kepada Selangor yang lebih baik malam ini.”
Pada perlawanan disaksikan kira-kira 12 ribu penyokong itu, Gopinathan meletakkan Selangor di depan seawal minit ketiga setelah memanfaatkan kekalutan di depan pintu gol, dan 15 minit kemudian Ukochukwu menolak masuk dari jarak dekat setelah percubaan awal Patrick Ronaldinho diselamatkan penjaga gol T-Team.
Sementara itu, Kedah pula mara dengan kemenangan agregat 2-1 setelah sekadar mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Polis Diraja Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka.