kedah-perak

Oleh Muhammad Aiman

Perlawanan akhir Piala Malaysia yang juga aksi penutup tirai Liga Malaysia musim 2016 akan berlangsung malam ini, sekali lagi mempertemukan dua pasukan penuh tradisi tersendiri, Kedah dan Selangor. 

Tahun lalu, dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri membantu Selangor mengecewakan Kedah dan mendakap trofi berprestij tanah air itu buat kali ke-33, dan ironinya itulah faktor utama bakal menyemarakkan semangat kedua-dua pasukan untuk tampil memberikan segala yang terbaik pada final edisi ke-95 kali ini.

Motivasi di kem gergasi merah kuning jelas cukup tinggi mahu memastikan Piala Malaysia kekal di bumi Shah Alam tatkala Lang Merah dengan skuad yang lebih matang, cukup membara mahu menebus duka tersebut.

Berdasarkan prestasi semasa, kelebihan mungkin dilihat sedikit memihak Kedah yang konsisten dalam semua pertandingan – melangkah ke separuh akhir Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga manakala cabaran Selangor dilihat lebih menyerlah dalam pertandingan Piala Malaysia ini.

Bagi jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, dia tidak terbuai dengan ramalan atas kertas yang meletakkan pasukannya sebagai pilihan sebaliknya menuntut fokus penuh dan ketenangan pemainnya untuk memperaga aksi terbaik seterusnya membawa pulang piala ke Alor Star buat pertama kali selepas lapan tahun.

“Tahun lalu, hujan lebat dan keadaan padang becak telah menjejaskan permainan kami. Nampaknya kali ini juga situasi sama berulang tetapi saya percaya kami dalam keadaan lebih bersedia dan tidak akan mengulangi kesilapan kerana sudah berpengalaman bermain di Shah Alam.

“Kita sedar Selangor mempunyai ramai pemain barisan depan yang laju dan jika leka, mereka akan menghukum kita. Saya boleh katakan skuad kali ini lebih matang dan mahu mereka kekalkan momentum yang telah ditunjukkan sepanjang tahun ini,” ujar Cheng Hoe.

Aksi pada Ahad, bakal menyaksikan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar memakai lilitan lengan selaku ketua pasukan dan pemain kebangsaan itu teruja membantu Lang Merah bukan sahaja melunas dendam kekalahan musim lalu tetapi turut mengintai koleksi medal Piala Malaysia ketiga peribadi setelah menjulangnya pada 2007 dan 2008. 

Sementara itu, pengendali Selangor, K.Gunalan pula bersedia menerapkan taktikal khas bagi mengekang pergerakan rangkaian jentera serangan pasukan Kedah yang diakuinya sebagai cukup berbahaya jika dibiarkan bergerak bebas.

“Beberapa pemain seperti Liridon Krasniqi, Baddrol, Shane Smeltz serta pemain sayap mereka memang cukup berbahaya. Kemungkinan saya akan meletakkan seorang pemain untuk membataskan pemain barisan depan Kedah. Saya percaya jika taktikal itu menjadi, kita boleh pertahankan Piala Malaysia,” kata Gunalan.   

Dia juga mahu pemainnya ketepikan seketika tanggapan bahawa mereka adalah penyandang kejuaraan dan bermain dengan mentaliti menyerang sejak dari sepak mula bagi memburu gol awal yang berpotensi menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Menariknya, jika Red Giants berjaya menewaskan Kedah, mereka bukan sahaja bakal mencipta sejarah muncul juara buat kali ke-34, tetapi dalam masa sama menyaksikan Gunalan buat pertama kalinya menjulang Piala Malaysia selaku jurulatih selepas tiga kali memenanginya sebagai pemain pada 1995, 1996 dan 1997.

“Kalau ikutkan ini perlawanan akhir kelima tetapi hanya tiga kali sahaja berjaya menang manakala satu lagi kami gagal. Jadi ini kesempatan berharga untuk saya memburu kejuaraan keempat dan harap ianya berjalan seperti dirancang,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Pada perlawanan akhir yang ke-49 buat Selangor itu, Gunalan dijangka akan mengekalkan gandingan Ugochukwu Ukah dan Rizal Fahmi yang telah membentuk pesefahaman baik di pertahanan, bermakna kapten pasukan Shahrom Kalam akan bermula dari bangku simpanan.

Tanggungjawab selaku kapten akan terus digalas pemain sayap lincah, Andik Vermanshah yang telah berjaya membawa impak positif kepada pasukan dan pemain berusia 25 tahun itu berpendapat pengalaman beraksi di final tahun lalu menambah keyakinan dalam  diri setiap pemain.

“Ini kesempatan saya menjulang trofi sebagai kapten pula selepas memenanginya musim lalu bersama Shahrom yang memimpin pasukan. Saya akan cuba buat terbaik dan jalankan tanggungjawab diberi dengan sempurna.

“Sama ada secara mental atau fizikal, kami sudah bersedia tetapi tidak bermakna kami terlalu yakin. Kami pasti tidak akan mengambil remeh final ini dan kekal fokus 90 minit dan lebih jika berlanjutan ke masa tambahan. Kami pernah melalui final tahun lalu, jadi kami tahu tangani rasa gugup,” kata ‘Messi’ Indonesia itu.

- Advertisement -