Saingan 2018 masih belum berlabuh, namun Selangor nampaknya sudah mengorak langkah awal mempersiapkan skuad bagi mengharungi musim 2019.

Skuad Red Giants memanfaatkan sebaik mungkin tempoh rehat panjang kira-kira dua minggu sebelum aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia dengan menerima pelawaan untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan di Indonesia.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, ā€œMemang kita masih ada satu lagi perlawanan terakhir menentang PKNP dalam saingan Piala Malaysia, tetapi ia hanyalah perlawanan pelengkap kumpulan bagi kita, sudah tidak ada makna.

ā€œJadi kita menerima pelawaan untuk bermain dalam perlawanan ini. Ia akan memberi peluang kepada pengurusan untuk menilai pemain dan juga pegawai secara lebih dekat sebagai perancangan kami untuk membentuk pasukan mantap bagi musim depan.ā€

Pasukan bimbingan Nazliazmi Nasir itu yang terbang ke Indonesia awal pagi Isnin akan menentang Madura United di Stadium Gelora Ratu Pamellingan Pamekasan pada Selasa (4 September) sebelum berdepan Persija Jakarta di Stadium Patriot Chandrabhaga pada Khamis (6 September).

ā€œKita tidak rugi apa-apa kerana fokus kita sekarang adalah persediaan untuk musim baru dan ia satu pendedahan yang baik buat pemain-pemain. Kita mungkin tidak akan terima tawaran ini jika masih kekal dalam saingan Piala Malaysia. Lagipun jelajah ini ditaja sepenuhnya dan FAS tidak mengeluarkan satu sen pun duit sendiri,ā€ tambah Johan lagi.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu tersingkir awal daripada kempen kali ini selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut termasuk tiga kali di gelanggang sendiri di Stadium Shah Alam.

Ini adalah kali pertama Red Giants gagal melepasi peringkat kumpulan dalam tempoh lima tahun.

Sebagai rekod, Selangor menutup 2018 dengan menduduki tangga kelapan Liga Super dengan 27 mata dan di sebalik mengharungi musim yang hambar mereka tetap berjaya melakar kejutan melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.

Penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia pula muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan meledak 19 gol dan setakat ini telah menjaringkan 30 gol dalam semua pertandingan.

Dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sudahpun mengambil tampuk pimpinan FAS sejak bulan Julai lalu, penyokong Selangor punyai banyak sebab untuk berasa yakin bahawa transformasi besar akan berlaku dan ianya akan mengembalikan semula kegemilangan bolasepak negeri itu.Ā MUHD AIMANĀ 

- Advertisement -