Selangor perlu tampil dengan prestasi luar biasa jika berhasrat menyingkirkan juara bertahan Kedah dan meneruskan kemaraan ke separuh akhir buat musim ketiga berturut-turut, demikian pandangan pemain pertahanan pasukan itu Adam Nor Azlin.
The Red Giants bertandang ke Darul Aman untuk aksi suku akhir kedua pada Ahad menentang Kedah dengan ketinggalan agregat 2-3 setelah tewas pada aksi pertama Jumaat lalu di Stadium Selayang.
Bagi Adam, ianya jelas misi sukar buat pasukan itu yang muncul naib juara musim lalu, juga selepas tewas kepada Kedah untuk menterbalikkan keputusan namun dalam masa sama berpendapat ianya tidak mustahil untuk mereka mencipta kejutan.Â
“Bermain di tempat sendiri pastinya satu kelebihan besar buat Kedah, mereka ada kelebihan sokongan dan kelebihan jaringan tetapi saya melihat selagi 90 minit belum berakhir peluang masih terbuka. Kami tidak boleh lagi lakukan kesilapan sama terutama di pertahanan dan perlu fokus.
“Kami perlu mengerah segala kudrat yang terbaik, berikan aksi luar biasa untuk mencari kemenangan kerana ini sahaja satu-satunya piala yang tinggal untuk kami rebut. Saya percaya semua rakan sepasukan turut menanam keinginan sama,” kata pemain yang merupakan salah seorang tonggak skuad B-22 kebangsaan yang meraih perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu.
Ditanya sama ada dia dan rakan sepasukan akan memberi lebih tumpuan kepada penyerang sensasi Kedah, Ken Ilso Larsen, Adam berkata, “Memang Ken Ilso cukup berbahaya tetapi kami tidak boleh hanya menumpukan perhatian kepada seorang pemain, semua pemain mereka adalah bagus.
“Syazwan (Zainon), Sandro (Mendonca), Liridon (Krasniqi), Baddrol (Bakhtiar) semuanya pemain berpengalaman dan boleh mengancam pertahanan setiap kali mendapat bola. Mereka mempunyai pemain mantap di setiap posisi jadi kami perlu berhati-hati. Jika terlalu ghairah mencari jaringan juga mungkin akan membawa padah.”Â
Dalam aksi pertama di Selayang tempoh hari, Kedah mencatat kemenangan menerusi dua jaringan Ken Ilso dan satu oleh Syazwan manakala Selangor membalas menerusi dua jaringan Rufino Segovia. Â – OLEH MUHAMMAD AIMAN Â