Selangor merampas kedudukan pendahulu Liga Super dari Johor Darul Takzim dengan penuh bergaya setelah membelasah Melaka United 4-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kedudukan terikat 1-1 di separuh masa pertama setelah Tiago Gomes memadam jaringan pendahuluan seawal minit ketujuh oleh Rufino Segovia namun skuad bimbingan P.Maniam tampil garang di separuh masa kedua dengan menambah tiga jaringan menerusi Syahmi Safari (m-55, 90) dan gol kedua peribadi Rufino (m-66).
Ia adalah kemenangan kedua buat Selangor setelah turut menang dengan jaringan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi pembukaan.
Sementara itu Kuala Lumpur pula mengalami kekalahan kedua setelah kecundang 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menerusi dua jaringan Nico Velez pada minit ke-11 dan 30. Ia adalah kemenangan pertama buat skuad Jang.
Perak pula menjaringkan dua gol lewat dalam aksi tegang di Alor Star untuk menewaskan tuan rumah, Kedah 3-1. Perak bimbingan Mehmet Durakovic mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan cantik GIlmar Filho namun Kedah berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-80 menerusi sepakan penalti kontroversi yang disempurnakan Sandro Mendonca.
Penalti itu dibantah hebat oleh pemain Perak yang mendakwa Akhyar Rashid merebahkan diri sehingga tercetusnya situasi panas, dan tiga minit kemudian perlawanan bertambah tegang apabila Liridon Krasniqi mengasari pemain Perak dan dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan sebaiknya Perak apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-85 menerusi tandukan Robert Cornthwaite hasil sepakan percuma Nazrin Nawi dan Nazirul Naim Che Hashim melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan.
Dalam satu lagi aksi, jaringan minit akhir ketua pasukan, Safee Sali membantu PKNS FC menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Shah Alam. – OLEH MUHAMMAD AIMAN