Peluang Kedah untuk mengejar kedudukan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) semakin tipis setelah sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Selangor di Stadium Darul Aman, pada Sabtu.
Skuad bimbingan Nidzam Adha Yusoff itu turun dengan misi wajib menang bagi terus memberikan tekanan kepada JDT yang berkelebihan sembilan mata sebelum perlawanan pada malam ini.
Namun satu mata yang diraih menyaksikan mereka kini ketinggalan 11 mata di belakang sekaligus menghadiahkan laluan mudah buat JDT untuk memburu kejuaraan Liga Super keempat mereka.
Kedah yang turun tanpa ramai pemain utama ketinggalan 0-1 pada minit ke-17 menerusi jaringan S.Veenod namun bangkit mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-30 menerusi Kel Ilso Larson. Walaupun berjaya memperkemas permainan di separuh masa kedua, kedua-dua pasukan gagal mencari tambahan jaringan.
Keputusan itu hadir sebagai perkhabaran ceria buat JDT yang cemerlang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sarawak di Larkin. Mohamed Ghaddar menjaringkan dua gol pada minit ke-11 dan 73 manakala Safawi Rasid menjaringkan satu lagi gol buat Harimau Selatan pada minit ke-78.
Pahang pula mencatat kemenangan pertama sejak saingan liga kembali bersambung 1 Julai lalu apabila menundukkan PKNS FC 3-1. Mahamou Sumareh menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-36 sebelum Matheu Alves menjaringkan dua gol di separuh masa kedua.
Gol tunggal PKNS FC dijaringkan Afiff Haikal pada minit ke-82. Kemenangan membolehkan Pahang kekal di tangga ketiga dengan 27 mata.
Felda United melonjak ke tangga keempat dengan 26 mata setelah membelasah pasukan kelab, T-Team 5-1 di Kuala Terengganu. Thiago Augusto sekali lagi meledak jaringan hatrik pada minit ke47, 58 dan 79 manakala dua lagi gol menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor dan Ifedayo Olusugun Patrick.
Perak di tangga keenam dengan 24 mata, setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kelantan di Kota Bharu dengan gol dijaringkan oleh Nazrin Nawi pada minit ke-29 dan Yashir Pinto pada minit ke-60.
Pertembungan dua pasukan di zon relegasi juga berlangsung menarik dengan pasukan tangga tercorot Pulau Pinang menewaskan Melaka United 3-2 di Stadium Hang Jebat.
Gol buat P.Pinang kendalian Zainal Abidin Hassan dijaringkan oleh Faiz Subri, Mark Hartmann dan S.Kumaahran manakala dua gol Melaka hadir menerusi penalti disempurnakan Marko Simic.
Pulau Pinang bagaimanapun kekal di kedudukan tercorot dengan sembilan mata manakala Melaka di kedudukan ke-11 dengan 12 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN