Oleh Ku Mohd Lufti
Atas rasa tanggungjawab, Vida Beauty Sdn Bhd yang merupakan penaja utama Kelantan bagi musim 2016 menyatakan kesediaan membantu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mencari dana bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim baru.
Pemilik syarikat kosmetik itu, Dato’ Sri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Dr Vida berkata dia memahami krisis kewangan kritikal KAFA ketika ini dan antara langkah difikirkan sesuai adalah dengan menganjurkan karnival Pamoga Qu Puteh selama seminggu membabitkan agen jualan dari setiap negeri.
Beliau yang masih lagi merupakan penasihat KAFA berkata, “Saya rasa bertanggungjawab membantu KAFA setakat mana yang termampu dengan mengemukakan beberapa langkah drastik. Penganjuran karnival dilihat satu langkah susulan di mana semua agen akan menjual produk keluaran syarikat Vida Beauty.
“Mereka juga akan membuat promosi tertentu bagi menarik minat penyokong untuk datang membeli pelbagai barangan kosmetik syarikat ini. Hasil jualan akan disalurkan kepada KAFA bagi menampung defisit kewangan mereka.”
Selain itu, Vida turut mempelawa wakil pengedar jersi The Red Warriors untuk menjual semua jenis jersi pasukan itu pada harga pakej menarik sempena karnival tersebut.
Februari lalu, Vida melalui syarikatnya telah bersetuju untuk menaja Kelantan selama dua tahun, dengan jumlah tajaan RM16 juta yang disertai lebih 30 syarat untuk dipatuhi termasuklah menukar imej Stadium Sultan Muhammad Ke-IV kepada warna pink.
Namun, setelah melihat pembabitan sebagai penaja tidak banyak membantu melariskan jualan produknya, Vida umpama hilang ghairah dan menjadikan prestasi hambar pasukan Kelantan sebagai alasan untuk menarik diri lebih awal dan telahpun menyatakan hasrat tidak mahu meneruskan tajaan.
Malah, RM8 juta bagi satu musim (2016) juga dilaporkan tidak disalurkan sepenuhnya.
Ini menyebabkan Kelantan yang memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk persiapan musim baru berada dalam situasi terkial-kial dan ketidakpastian mengenai penyertaan mereka dalam Liga M berikutan belum ada mana-mana pihak tampil memberi sokongan.