Hanya beberapa bulan yang lalu, masa depan gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tampak semakin kelam sekaligus membawa kepada kemungkinan bakal dipisahkan. Semuanya gara-gara krisis keyakinan dan kemeruduman prestasi sepanjang enam bulan yang pertama bagi tahun 2017.
Situasi itu memaksa gandingan beregu wanita nombor satu negara itu yang dihimpit tekanan hebat mengambil keputusan berehat seketika dari menyertai mana-mana pertandingan selepas prestasi hambar di Terbuka Australia pada Jun.
Tindakan itu membantu pasangan nombor 13 dunia itu menemui semula rentak yang hilang – mereka kembali ke dalam aksi sebulan selepas itu dan berjaya memenangi kejuaraan pertama tahun ini dengan menjuarai Terbuka New Zealand pada Ogos.
Mereka kemudian meneruskan aksi cemerlang dengan memenangi pingat perak (acara berpasukan) di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan jika tidak kerana kecederaan dialami Vivian, mereka mungkin dapat melakar pencapaian lebih baik dari memenangi gangsa dalam acara individu.
Selepas berjaya mengubah nasib dalam tempoh tiga bulan, Vivian dan Khe Wei tampak berada dalam motivasi tinggi dan mereka kini mahu mengekalkan momentum yang telah tercipta di dua kejuaraan di Eropah – Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis – yang bakal pada Oktober.
“Kami cukup berpuas hati dengan apa yang telah kami capai di Sukan SEA, apatah lagi prestasi kami tidak begitu baik sebelum itu dan dikritik hebat. Kami kerah segala kudrat untuk buat yang terbaik, cuma sedikit tidak bernasib baik kerana kecederaan dialami Vivian,” kata Khe Wei.
Tambahnya, “Apa yang penting, kami telah bekerja keras memperbaiki kelemahan, terutama dari segi taktikal. Kini kami perlu kekal konsisten, kami telah mendapat rehat yang cukup, melalui sesi latihan berintensiti tinggi malah Vivian juga sudah kembali dalam tahap terbaiknya. Kami sudah bersedia untuk tampil lebih baik.”
Di Kejohanan Terbuka Denmark yang akan berlangsung dari 17-22 Oktober, Vivian dan Khe Wei berdepan tugas getir untuk meneruskan kemaraan apabila diundi berdepan pasangan nombor tujuh dunia yang juga pilihan kelima, Huang Dongping-Li Yinhui dari China seawal pusingan pertama.
Untuk rekod, Vivian dan Khe Wei hanya pernah beraksi dua kali di Terbuka Denmark sebelum ini iaitu pada 2015 dan 2016 – kedua-duanya menyaksikan cabaran mereka berakhir di pusingan kedua. – OLEH MUHAMMAD AIMAN