Kejayaan skuad bawah 15 tahun negara menjulang trofi Kejuaraan AFF B15 di Chonburi, Thailand baru baru ini terus menjadi bualan pelbagai pihak apatah lagi keputusan yang dilakar sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

Malaysia muncul juara kumpulan tanpa sebarang kekalahan selain menundukkan tuan rumah, Thailand dipentas final untuk muncul menjulang trofi AFF B15 2019 sekaligus berada sebaris dengan dua pasukan yang turut pernah menjulang trofi ini sebanyak dua kali; Myanmar (2002,2005) dan Australia (2008, 2016).

Kejuaraan kali kedua selepas pertama kali melakukannya pada 2013, Malaysia kini memasang impian untuk memburu slot ke saingan AFC B16 2020.

Malaysia diundi dalam kumpulan J bersama sama Kemboja, Jepun dan tuan rumah bagi pusingan kelayakan yang akan berlangsung dari 18 hingga 22 September depan.

 

Bagi P Maniam, Jepun dilihat sebagai halangan utama dalam kumpulan itu kerana Malaysia perlu muncul juara kumpulan untuk layak secara automatik.

Jika gagal, peluang terakhir adalah menamatkan saingan ditangga kedua namun perlu berada dikedudukan lima terbaik daripada 11 pasukan yang  menamatkan saingan kelayakan di tangga kedua.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah beraksi di peringkat suku akhir dimana Malaysia tewas 1-2 kepada Australia pada 2014 di Thailand.

Manakala empat lagi penampilan Malaysia (2004, 2008, 2016, 2018) berakhir dengan saingan kumpulan selepas gagal menempatkan diri di kelompok dua terbaik.

Hakikatnya, turun dengan status Raja Asia Tenggara ketika ini tampak bukan jaminan sepenuhnya buat skuad negara di pusingan kelayakan itu nanti.

Malaysia tidak pernah menang dengan Jepun dalam pertemuan diantara kedua dua pasukan samada di pusingan kelayakan atau Saingan AFC B16.

Jika benar barisan kejurulatihan yang dipimpin P Maniam ada ‘ramuan’ tersendiri untuk menundukkan Jepun, Malaysia perlu turun sebagai ‘pasukan baru’, tanpa membawa nama selaku juara B15 kerana saingan kelayakan AFC B16 jauh lebih sengit.

Bukan untuk menidakkan kemampuan yang ada tetapi persoalan utama ketika ini, kira kira sebulan sebelum kejohanan bermula, apa perancangan barisan kejurulatihan dan badan badan terlibat untuk mempersiapkan pemain pemain sebelum turun beraksi?

Skuad B-15 negara disambut meriah di KLIA malam tadi setelah bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengalahkan juara tiga kali Thailand, 2-1 di Stadium IPE Chonburi, Thailand dalam aksi final, sekali gus menjadi juara AFF B-15 2019.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal dan Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam turut bersama meraikan skuad B-15 negara.

 

- Advertisement -