Oleh Muhammad Aiman
Bekas pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan meminta Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) agar menyelesaikan baki pampasan penamatan kontraknya dan melepaskannya dari ‘ikatan’ bersama persatuan itu agar dia dapat meneruskan perjalanan kariernya sebagai jurulatih bersama pasukan lain tanpa sebarang masalah.
Menurut Zainal, sehingga kini meskipun lima bulan sudah berlalu, dia masih belum menerima sebarang hitam putih mengatakan telah dipecat, selain masih dibayar gaji bulanan sehingga bulan November lalu yang mana berlainan dengan apa yang telah dibincang dan dipersetujui bersama pengurusan FAS.
Justeru Zainal berkata situasi itu menimbulkan persoalan mengenai statusnya bersama skuad gergasi merah kuning itu dan menyukarkannya membuat keputusan mengenai masa depan.
“Satu Malaysia tahu bahawa saya telah dipecat. Kronologinya, selepas tamat perlawanan menentang Kedah, yang mana kita kalah 0-1, saya telah dipanggil pengurus Hisham (Mohamad Ghouth), memaklumkan pemecatan saya atas arahan YB Presiden menerusi SMS yang dibacakan kepada saya.
“Sebagai seorang profesional saya menerima keputusan itu, tetapi saya berpendapat saya ada hak untuk menceritakan dan memberi penjelasan mengenai punca kemerosotan prestasi pasukan dan membuat rayuan mahu berjumpa pengurus. Rayuan saya ditolak tetapi mereka janji semua hak termaktub dalam kontrak dan baki kontrak saya akan diselesaikan.
“Selepas itu, saya berhubung dengan pemangku setiausaha Selangor, YM Raja Rostam untuk mendapatkan surat pemecatan agar dapat meneruskan langkah kedua iaitu cara lisan bagi menuntut hak saya. Jawapan yang saya terima, tidak dapat arahan untuk keluarkan surat pemecatan.”
Susulan itu, Zainal meneruskan tuntutan haknya dengan menghantar surat kepada Presiden FAS ketika itu, Dato’ Seri Azmin Ali yang disertakan dengan kenyataan media di facebook pengurus pasukan, Amirudin Shari dan laporan-laporan yang dikumpulkannya dari akhbar serta media sosial.
“Itu sahaja yang saya ada sebagai bukti pemecatan yang mana saya ambil untuk dilampirkan dalam surat tuntutan saya. Syukur, apa yang termaktub dalam kontrak, yang saya tuntut telah dipersetujui dan dijanjikan oleh pengurusan lama (2016) untuk diselesaikan. Selepas mendapat jawapan itu, saya berniat menimba ilmu kejurulatihan di luar negara, pelajari sesuatu dan telah ke Cardiff selama tiga bulan.
“Sepanjang saya di Cardiff, gaji saya masih dibayar secara bulanan oleh pengurusan lama. Yang mengejutkan saya kenapa masih dibayar secara bulanan setelah dipersetujui untuk selesaikan kontrak saya selepas pemecatan saya dengan serta-merta.
“Lebih memeritkan saya, masih tidak menerima gaji bulan November dan seterusnya (sehingga tamat baki kontrak pada November 2017),” kata Zainal.
Tidak berputus asa mencari penyelesaian, Zainal telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Amirudin dan tetap belum mendapat sebarang kata putus.
“Saya tak salahkan sesiapa, saya cuma tuntut hak sepertimana dalam kontrak yang dijanjikan oleh pengurusan lama, kerana saya ingin teruskan karier saya. Selagi masalah tidak selesai, saya tak boleh bergerak, tak boleh berbuat apa-apa. Saya masih boleh berbakti di dalam sukan bolasepak, walaupun buat pertama kalinya terjadi perkara sebegini dalam karier saya sebagai pemain dan jurulatih, ia tidak akan bunuh semangat saya.”
Untuk rekod, sepanjang di bawah kendalian Zainal, Selangor beraksi 28 perlawanan membabitkan Liga Super, Piala FA dan Piala AFC. Daripada jumlah itu, Selangor mencatat 11 menang, 8 seri dan 9 kekalahan.