Oleh Muhammad Aiman
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya barisan atlet olimpik negara diketuai Dato’ Lee Chong Wei, mempunyai kemampuan untuk akhirnya menoktahkan penantian panjang Malaysia memenangi pingat emas pertama di temasya Sukan Olimpik.
Beliau melaungkan keyakinan itu ketika meluangkan masa bertemu dengan kontinjen negara yang akan membawa cabaran di Rio De Janeiro bermula 5 Ogos ini di pejabatnya di Putra Perdana dan mengharapkan kesemua 32 atlet akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara.
“Ia sentiasa menjadi impian negara untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik, namun kita sedar ia bukan mudah kerana Sukan Olimpik adalah temasya paling berprestij dan dinanti-nantikan semua negara, dan sudah tentunya menjanjikan satu pertandingan sengit.
“Chong Wei telah memenangi pingat perak di Beijing dan London, mungkin kali ini anda boleh membawa pulang emas, itu adalah harapan kita dan kami (rakyat Malaysia) tahu anda boleh melakukannya kerana anda telah menewaskan lawan yang sama sebelum ini.
“Begitu juga kepada semua atlet lain, tidak perlu saya beritahu kepada anda (atlet) semua tentang apa yang perlu anda lakukan, saya tidak mahu memberi tekanan kerana saya yakin anda lebih tahu apa yang perlu dilakukan dan sudah tentunya motivasi anda semua adalah cukup tinggi untuk melakukan yang terbaik nanti.
“Apa sekalipun, saya ingin memberitahu, seluruh rakyat Malaysia berdiri di belakang anda semua yang merupakan kebanggaan negara. Kami mendoakan kejayaan anda semua dan berharap anda akan julang nama negara tidak kira sama ada dengan meraih emas, atau apa jua warna pingat dari temasya itu. Selamat berjaya kepada semua.”
Datuk Seri Najib turut berharap ganjaran RM1 juta serta pencen tetap RM5,000 kepada pemenang pingat emas, RM3,000 kepada pemenang pingat perak dan RM2,000 kepada pemenang pingat gangsa yang ditawarkan akan memberi motivasi tambahan kepada semua atlet negara.
Pertemuan yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Chef De Mission kontinjen negara ke olimpik, Tan Sri Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid itu menyaksikan 11 daripada 32 atlet yang layak ke Rio hadir antaranya Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Vivian Hoo, Woon Khe Wei dan Zaidatul Husniah Zulkipli.
Beberapa atlet lain ketika ini sedang menjalani latihan fasa akhir di luar negara seperti Welson Sim, Heidi Gan, Pandalela Renong, Nauraj Singh, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa manakala atlet seperti Khairulnizam Md Efendy, Nur Syazrin, Johnathan Wong dan Khairul Anuar Mohamad sudahpun berlepas ke Rio lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, cuaca dan perubahan masa.
Pada temasya sukan terbesar dunia itu yang berlangsung empat tahun lalu di London, Malaysia membawa pulang satu perak menerusi Chong Wei dan gangsa menerusi atlet terjun, Pandalela.
Untuk edisi kali ini, selain jaguh badminton nombor satu dunia itu, sandaran pingat sekali lagi turut diletakkan di bahu Pandalela dan jaguh berbasikal Azizulhasni Awang.