Oleh Muhammad Aiman
Senarai akhir atlet negara yang akan membawa cabaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan diumumkan pada penghujung bulan Julai, beberapa minggu sebelum temasya dwi tahunan itu membuka tirai secara rasmi.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata lebih seribu atlet yang sedang berlatih di bawah program Kita Juara akan melalui fasa pertama saringan di mana senarai awal lebih 900 atlet akan disenarai pendek jawatan kuasa pemilihan pada penghujung Mac.
“Saringan fasa pertama nanti kita akan kecilkan kepada jumlah yang kita telah tetapkan. Mungkin ada persatuan sukan masih belum pasti siapa atlet yang mahu disenaraikan jadi dalam tempoh empat bulan selepas itu, mereka akan mengenal pasti atlet yang bakal membawa cabaran, acara mana, siapa prospek pingat.
“Buat masa ini semuanya masih terbuka buat siapa sahaja, termasuk juga kepada yang di luar program Kita Juara. Kita tidak tahu apa akan berlaku, ada yang mungkin mengalami kecederaan, sedang merawat kecederaan, atau boleh jadi yang nombor satu dalam acara mereka ketika ini akan dipintas oleh atlet lain jadi semua ini akan menentukan faktor pemilihan.”
Tunku Imran bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurus Pasukan KL2017 kali kedua di Wisma MOM, sebentar tadi.
Dalam sidang media sama, Tunku Imran menegaskan bahawa belum tiba masanya untuk berbicara mengenai sasaran pingat yang boleh diletakkan terhadap kontijen negara.
“Kita tidak mahu memberi tekanan tambahan kepada atlet dengan bercakap mengenai sasaran, ia bukan cara MOM dan lagi pun ia masih terlalu awal. Kita belum pun tahu siapa atlet yang akan beraksi. Memang difahami kita mahu jadi nombor satu di KL2017, tetapi kita serahkan kepada persatuan untuk menilai peluang atau kebolehan atlet masing-masing.
“Kadang-kadang, nilai sebutir gangsa itu lebih tinggi dari pingat emas jika mengambil kira siapa lawan yang ditewaskan atau apa yang mereka harungi dalam laluan meraih pingat tersebut. Sudah tentu pada akhirnya ianya jumlah keseluruhan pingat emas yang akan jadi penentu juara keseluruhan, tetapi kami (MOM) tidak akan memperkecilkan sebarang pencapaian.”
Sementara itu, Chef De Mission kontijen negara, Datuk Marina Chin pula memberitahu berdasarkan laporan pengurus pasukan, persiapan kesemua pasukan berjalan lancar dengan tiada isu besar dibangkitkan dan MOM juga telah memaklumkan kepada mereka tentang tarikh, venue dan hotel yang akan diduduki atlet sewaktu pertandingan nanti.
Beliau turut meminta agar media terus memberikan suntikan semangat kepada atlet dengan menulis laporan-laporan positif yang boleh membantu mereka kekal fokus memberikan aksi terbaik.
“Saya minta media-media tempatan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Malaysia, menyediakan mereka satu suasana pertandingan yang betul. Jangan hanya fokus pada atlet yang menjadi sandaran, tetapi semua. Kerana setiap atlet mempunyai peluang mereka. Bantu saya, bantu MOM, bantu kontijen kita untuk menampilkan prestasi terbaik.”