Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengumumkan senarai awal nama 29 orang calon yang layak bertanding untuk pemilihan yang akan berlangsung pada Kongres FAM Ke-61 pada 15 Februari 2025 bagi mengisi 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.

Terdahulu, kesemua 18 ahli gabungan FAM (tidak termasuk Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang digantung keahlian) telah diberi masa selama 24 hari iaitu dari 24 Disember 2024 hingga 16 Januari 2025 untuk mengemukakan senarai nama calon masing-masing bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).

Selepas tempoh akhir yang diberikan iaitu pada jam 5.30 petang semalam (Khamis, 16 Januari 2025), terdapat satu ahli gabungan yang tidak menghantar borang pencalonan manakala satu ahli gabungan yang menghantar borang pencalonan tetapi tidak sempurna. Oleh itu, hanya pencalonan daripada 16 ahli gabungan yang sah diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM.

Selepas proses pengiraan, jumlah keseluruhan calon yang diterima ialah seramai 39 orang tetapi hanya 29 orang calon yang akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan memandangkan baki 10 orang calon lain itu tidak mendapat jumlah pencalonan minimum seperti yang termaktub dalam Artikel 31, Perenggan 6, Statut FAM.

Bagi menandingi jawatan Presiden, seseorang calon itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM manakala bagi jawatan Timbalan Presiden memerlukan lima pencalonan, jawatan Naib Presiden memerlukan empat pencalonan manakala jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) memerlukan dua pencalonan.

Calon-calon yang layak untuk bertanding ini akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan untuk mereka membalas semula borang berkenaan selewat-lewatnya pada Khamis, 23 Januari 2025 dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya iaitu tidak bersetuju.

Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pemilihan FAM juga akan menghantar nama mereka untuk proses saringan integriti membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).

Seterusnya, Jawatankuasa Pemilihan FAM akan mengumumkan senarai akhir iaitu senarai rasmi nama calon yang layak bertanding pada pemilihan kali ini, pada/selepas Khamis, 23 Januari 2025 atau selewat-lewatnya pada Sabtu, 8 Februari 2025 (tujuh hari sebelum kongres berlangsung). Senarai ini juga akan dihantar kepada 18 ahli gabungan untuk makluman mereka.

Dilampirkan bersama siaran media ini, senarai awal nama 29 orang calon yang layak bertanding pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 mengikut komposisi jawatan yang ditetapkan iaitu seorang Presiden, dua orang Timbalan Presiden, empat orang Naib Presiden dan 10 orang Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) termasuk dua kerusi diperuntukkan untuk wanita.

Dua individu iaitu Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin dan Dato’ Dollah Salleh layak bertanding untuk dua jawatan iaitu Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco). Bagaimanapun, mereka perlu memilih hanya satu jawatan untuk bertanding menerusi jawapan balas dalam Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan.

SENARAI AWAL NAMA CALON BAGI PEMILIHAN AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM UNTUK PENGGAL 2025 – 2029

1. PRESIDEN (1 kerusi)

BILNAMA CALON
1. DATUK MOHD JOEHARI MOHD AYUB

2. TIMBALAN PRESIDEN (2 kerusi)

BILNAMA CALON
1. DATUK WIRA MOHD YUSOFF HJ. MAHADI
2. DATO’ SIVASUNDARAM A/L SITHAMPARAM PILLAI

3. NAIB PRESIDEN (4 kerusi)

BILNAMA CALON
1. DATUK SERI HJ. ROSMADI ISMAIL
2. SAARAN A/L NADARAJAH
3. DATO’ MOHD AZHAR JAMALUDDIN
4. DATO’ DOLLAH SALLEH
5. SYED YAZID SYED OMAR

4. AHLI (8 kerusi)

BILNAMA CALON
1. DATUK HJ. MOHD HISAMUDIN YAHAYA
2. TANG CHEE HONG
3. MOHD AZIZUDIN MOHD SHARIFF
4. YB HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
5. DATO’ ZAINAL ABIDIN HASSAN
6. HJ. ZULKIFLI CHE HARUN
7. DATUK HJ. KAMARUDIN HJ. HASSAN
8. ACP (B) MD DALI WAHID
9. DATO’ ADLY SHAH AHMAD TAH
10. DATO’ SRI MOHD YUSRI HJ. HASSAN BASRI
11. DATO’ MOHD AZHAR JAMALUDDIN *
12. DATO’ DR. FATHUL BARI MAT JAHYA
13. DATO’ DOLLAH SALLEH *
14. CHRISTOPHER RAJ ARALANTHU
15. DATUK DR. SUGUMARAN A/L PARTHASARATHY
16. DATO’ SRI HJ. AFANDI HAMZAH
17. DATO’ HJ. MUSTAPHA NAGOOR
18. ZAMRI IBRAHIM

* Turut dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden

5.  AHLI WANITA (2 kerusi)

BILNAMA CALON
1. DATO’ SURAYA YAACOB
2. DR. SITI FAIDUL MAISARAH ABDULLAH
3. DATUK DR. FADILAH SARBI
4. MIMI AFZAN AFZA
5. NUR IZWANI AZMAN
  • www.fam.org.my
- Advertisement -