SENARAI muktamad penyertaan atlet bagi kontinjen yang menyertai Sukan SEA 2017 dijangka hanya akan diketahui selepas sesi Mesyuarat Pendaftaran Delegasi (DRM) yang terakhir pada 12 Ogos ini.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo berkata perkaran itu sedang diuruskan sejak Rabu (9 Ogos 2017) dan senarai dan bilangan muktamad bagi setiap kontijen akan diketahui pada atau selepas 12 Ogos ini.
Sukan SEA KL2017 bermula secara rasmi pada 19 Ogos tetapi bolasepak dan bola jaring akan memulakan saingan lebih awal mulai 14 Ogos ini.
Menurut Datuk Low, selepas tarikh 12 Ogos, beliau berharap tiada sebarang pertukaran dan peubahan lagi memandangkan tarikh bermulanya Sukan SEA yang semakin hampir.
“Walaupun pendaftaran sebenarnya telah ditutup pada 30 Jun lepas, kita masih lagi memberi kerana terdapat perubahan yang tidak dapat dielakkan disebabkan kecederaan ke atas atlet dan keadaan yang tidak dapat dielakkan,” kata beliau ketika ditemui di Wisma OCM.
Setakat ini, jumlah pendaftaran keseluruhan atlet bagi KL2017 mencecah hampir 5,000, yang tidak termasuk jumlah pegawai, jurulatih dan tetamu.
Setakat ini, Malaysia menampilkan jumlah kontinjen terbesar dengan 878 atlet diikuti Thailand yang menghantar sejumlah 858 atlet. Kedua-dua negara akan menyertai kesemua 38 sukan yang dipertandingkan. Indonesia, antara kuasa besar Sukan SEA bakal menghantar lebih 600 atlet manakala Singapura, Vietnam, Filipina dan Myanmar masing masing dengan hampir 500 atlet dalam kontinjen masing-masing.
Sukan SEA KL2017 menampilkan 38 sukan dan 404 acara termasuk beberapa sukan yang dirkenalkan buat kali pertama seperti luncur ais, hoki ais dan kriket. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI