sea_games_2017

Oleh Ku Mohd Lufti

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berpuas hati dengan barisan pelumba yang dilihat dilandasan terbaik bagi mempertahan pingat emas acara lebuh raya di Sukan SEA 2017 selepas berakhir Tour of Thailand 2016 (ToT 2016) dan Tour de Korea 2016 (TdK 2016).

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan pencapaian menduduki tempat ketiga keseluruhan di ToT 2016 dan tempat ke-15 keseluruhan di TdK 2016 memberikan keyakinan maksimum kepada badan induk tersebut untuk mempertahankan kejuaraan di halaman sendiri.

PKBM juga melihat Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri dan Muhsin Alredha Misbah merupakan prospek terbaik dan dilihat mampu melakukan kejutan sekiranya terpilih dalam skuad lebuh negara pada Sukan Sea 2017.

“Pencapaian terbaik Nabil adalah pada perlumbaan peringkat pertama dari Busan ke Gumi dengan menduduki tempat ke-11. Pada perlumbaan peringkat ke-7, dia dapat nombor ke-14. Pencapaian terbaik seterusnya adalah pada perlumbaan peringkat ke-3 apabila menduduki tempat ke-18.

“Muhsin Alredha pula berjaya menduduki tempat ke-17 bagi kategori Pelumba Terbaik Asia. Perlu diingatkan bahawa laluan bagi Tour de Korea adalah berbukit. Pelumba muda ini sangat menonjol pada penampilan pertamanya berkayuh di Tour de Korea.

“Manakala Nik Mohd Azwan pula muncul juara kategori Pelumba Terbaik Asia Tenggara di ToT 2016. Pada kejohanan tersebut, Thailand dan Vietnam membariskan pelumba terbaik mereka. Jadi, pencapaian Nik Mohd Azwan adalah sangat baik,” katanya

Malaysia menggondol dua pingat emas di Sukan Sea 2015 di Singapura menerusi pakar pecut daripada pasukan Terengganu Cycling (TSG), Mohd Harrif Salleh.

Skuad lebuh raya negara juga disasarkan untuk menang sekurang-kurangnya dua pingat emas menerusi acara lepas beramai-ramai dan kriterium elit lelaki.

Datuk Abu Samah menjangkakan senarai awal bagi barisan pelatih kebangsaan bagi menghadapi Sukan Sea 2017 hanya boleh diketahui seawalnya pada September ini.

“Secara kasar kami sudah mempunyai senarai cadangan pelumba. Bagaimanapun kami mahu memilih pelumba yang sesuai dengan laluan yang bakal dipilih nanti,” katanya.

- Advertisement -