Oleh Ku Mohd Lufti
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, PBSNT kini sedang menyiasat dan mencari siapakah individu yang menyebarkan maklumat mengenai cadangan senarai nama berkenaan di laman sosial beberapa hari lalu.
Jelas Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat, perkara tersebut sememangnya di pandang serius pihaknya kerana mampu mengundang persepsi negatif.
Beliau juga mendakwa kertas kerja tersebut bukan dikeluarkan oleh PBSNT, malah, pemangku Presiden persatuan yang juga menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman juga belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi mengenainya.:
“Kertas kerja tersebut mungkin bukan milik persatuan, ianya dilakukan oleh orang lain, saya tidak tahu tentang perkara itu dan tidak dimaklumkan.
“Menteri Besar Terengganu bertanya, dan saya menyatakan ianya bukan perkara benar, tetapi orang luar tetap nak viralkan, saya nak buat macam mana?
“Saya berharap peminat dan orang Terengganu tidak melatah dan tunggu sehingga Menteri Besar sendiri yang akan buat pengumuman yang rasmi,” kata Rozi.
Penyebaran maklumat tentang barisan pemain skuad Terengganu bagi musim 2019 kini menjadi viral di kalangan peminat dan penyokong bola sepak di negeri tersebut, sejak Khamis lalu.
Menurutnya sehingga kini hanya seorang pemain import, Issey Farran Nakajima yang disahkan kekal mengganggotai skuad peteh musim hadapan.
Manakala senarai pemain tempatan dan import lain yang bakal menandatangani kontrak dengan skuad Terengganu akan diumumkan serta dilaksanakan selepas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim selesai menyenaraikan kesemua nama pemain yang dikehendakinya, tidak lama lagi.