annuar_musa

Oleh Muhammad Aiman

Hanya sepuluh hari selepas melantik Zahasmi Ismail sebagai ketua jurulatih, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sekali lagi membayangkan hasrat menarik diri dari saingan Liga Malaysia musim depan berikutan kegagalan mendapatkan penaja.

Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail berkata situasi kewangan Kelantan dalam keadaan cukup kritikal setelah penaja utama Vida Beauty telahpun menyatakan hasrat menarik diri dari meneruskan tajaan tatkala perbincangan yang telah diadakan dengan pelbagai pihak lain belum menampakkan sebarang maklumbalas positif.

Justeru, menurutnya adalah sukar untuk juara trebel 2012 itu mengambil bahagian jika tiada penaja lebih-lebih lagi mereka tidak mahu timbul pelbagai masalah lain di kemudian hari, terutamanya isu tunggakan gaji yang hanya akan memburukkan lagi imej bolasepak negeri itu.  

“Walaupun kita sudah berusaha termasuk berunding dengan sumber luar dan pihak-pihak tertentu, namun masih menemui jalan buntu. Pihak pengurusan akan membuat keputusan dalam mesyuarat pada 15 Disember nanti tentang halatuju kita.

“Penyokong di luar mungkin melihat kita sudah selesa sebab kita sudah melantik jurulatih dan menjalani latihan, tetapi yang sebenarnya situasi kita dalam keadaan cukup kritikal,” kata Rosmadi.

Kelantan sejak beberapa tahun kebelakangan, dihimpit masalah kewangan tenat sehinggakan isu tunggakan gaji ibarat sudah menjadi perkara lazim bagi mereka.

Pada 2015, lima pemain tempatan iaitu Amiridzwan Taj, Fitri Omar, Nazri Ahmad, Amar Rohidan dan Fakri Saarani membawa isu tunggakan mereka ke pengetahuan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) seterusnya memaksa campurtangan Persatuan Bolasepak Malaysia untuk menyelesaikan perkara itu.

Manakala pemain import, Erwin Carrilo pula bertindak lebih ‘agresif’ dengan membawa isunya ke pengetahuan badan induk bolasepak dunia, FIFA.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Mohd Nor tidak menolak kemungkinan bahawa pengurusan tertinggi persatuan itu akan sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Annuar sebagai inisiatif terakhir, seandainya jalan penyelesaian gagal dicari dalam tempoh terdekat.

Katanya, mereka masih mengharapkan jawapan positif dari Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta beberapa syarikat swasta untuk tampil menyelamatkan arena bolasepak Kelantan.

“Pelbagai usaha dilakukan demi menyelamatkan bolasepak Kelantan dan saya rasa berjumpa Tan Sri (Annuar) adalah pilihan terakhir yang difikirkan sesuai jika kita terus berada dalam situasi terdesak,” katanya.

Kelantan dikhabarkan memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan mereka membentuk sebuah pasukan kompeten untuk memberi saingan dalam Liga Malaysia musim depan.

Tanpa Annuar yang memilih melepaskan jawatannya bulan lalu setelah hampir sedekad memegang tampuk pimpinan KAFA, bolasepak Kelantan sedang menuju era gelap tatkala tiada individu lain yang bersedia memberikan sokongan.

Sekali lagi, adakah Annuar akan menjadi penyelamat? Kita tunggu dan lihat kesudahan drama ini.     

- Advertisement -