Oleh Muhammad Aiman
Di atas kertas, tidak banyak harapan boleh diletakkan ke atas gandingan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk melakar kejutan atau membawa pulang pingat sebarang warna dari temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016.
Hakikatnya, sejak kejayaan gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di Atlanta 96, belum ada pasangan negara yang membawa pulang kilauan pingat – paling hampir adalah Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada Sydney 2000 dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di London 2012 yang mana kedua-duanya tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Dan ketika dua pasangan itu kecundang, mereka berada di kelompok 10 gandingan terbaik dunia manakala V Shem dan Wee Kiong ketika ini di ranking ke-13 dunia justeru untuk mengharapkan sesuatu dari gandingan mereka pastinya ia memerlukan satu prestasi luar biasa untuk diterjemahkan di atas gelanggang.
Bagi jurulatih beregu negara, Jeremy Gan, peluang tetap ada untuk anak didiknya mara jauh dan mengulangi pencapaian Soon Kit-Kim Hock genap 20 tahun lalu meskipun menyedari mereka bakal berdepan lawan sukar seawal saingan peringkat kumpulan.
“Saya sudah mempersiapkan mereka sebaik mungkin, baik fizikal ataupun mental. Saya mahu mereka serap semangat yang dibawa Soon Kit dan Kim Hock 20 tahun dulu. Mereka sudah tidak sabar turun gelanggang, keyakinan mereka ada. Ianya prestasi mereka pada hari pertandingan yang akan menjadi penentu,” kata Jeremy.
Untuk rekod, di Atlanta 96, Soon Kit dan Kim Hock memenangi pingat perak setelah tunduk kepada pilihan utama yang juga juara dunia, Rexy Mainaky dan Ricky Subagja di perlawanan akhir.
Manakala Tan Fook-Wan Wah yang membawa harapan besar hampir mengulangi pencapaian itu empat tahun kemudian di Sydney, namun kecundang di separuh akhir kepada pilihan kedua, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung. Â
V Shem dan Wee Kiong dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan peringkat kumpulan di Rio di mana mereka perlu sekurang-kurangnya muncul naib juara Kumpulan B di belakang Fu Haifeng/Zhang Nan untuk layak ke suku akhir.
Mereka akan membuka kempen peringkat kumpulan dengan menentang gandingan Jerman, Michael Fuchs-Jonathan Schottler hari ini, sebelum berdepan Philip Chew-Sattawat Pongnairat dari Amerika Syarikat sebelum berdepan Haifeng dan Zhang Nan pada Sabtu.
Kemenangan dalam dua aksi pertama pastinya sudah memadai untuk mengesahkan tempat namun seandainya berjaya mencipta kejutan muncul juara kumpulan, mungkin akan membuka laluan laluan lebih mudah seterusnya berpeluang mengintai slot beraksi di kelompok empat terakhir.