Ketua jurulatih Shah Alam Antlers FC, Ibrahim Madaki percaya barisan pemainnya mampu digilap untuk menjadi bintang masa depan menerusi platform Liga M4 yang dikendalikan Amateur Football League (AFL) di bawah Malaysian Football League (MFL).
Shah Alam Antlers yang merupakan pasukan liga sosial Klang Valley League, KVL M4 kini menduduki tangga teratas liga selepas menewaskan pasukan The Jan dengan keputusan 3-0 tempoh hari.
Misi utama jurulatih dari Nigeria ini bukan sahaja mahu meletakkan pasukannya kekal ungguli takhta liga tetapi dalam masa sama membentuk pemain bersikap lebih profesional kerana bagi Ibrahim, pemain muda lebih senang untuk digilap jika memiliki bakat dan disiplin.
Jelasnya, beliau yang mengemudi pasukan pada tahun ini melihat barisan anak buahnya sentiasa tidak mudah menyerah dalam memastikan prestasi terbaik di atas padang walaupun hakikatnya mereka bukanlah pemain profesional.
“Saya melihat masa depan yang cerah bagi skuad ini dan mereka akan menjadi satu pasukan yang dikenali juga satu hari nanti kerana ramai pemain muda yang berpotensi ada dalam pasukan ini.
“Bagi mencapai sasaran itu, bukanlah satu tugas yang mudah kerana memerlukan kerja keras satu pasukan bagi membentuk serta menggilap pemain muda ini.
“Saya mahu pemain-pemain muda dalam pasukan ini mampu menarik perhatian pasukan atau kelab yang lebih besar pada masa akan datang.
“Platform Liga M4 ini benar-benar membantu komuniti yang berhasrat untuk membawa pasukan yang ada ke tahap yang lebih tinggi walaupun hakikatnya bukan senang untuk mengukuhkan sesuatu skuad itu tanpa peruntukan yang sepatutnya.
“Shah Alam Antlers FC mahu bertahan sebaik mungkin, malah dengan keputusan positif yang kami raih setakat ini juga sedikit sebanyak mampu tarik beberapa penaja yang berminat untuk membantu kami”, jelasnya.
Kapten pasukan, Azeem Azhar menyifatkan kelompok penyokong Shah Alam Antlers ini tidak pernah menghampakan dalam memberi sokongan terbaik di setiap perlawanan dan itulah antara yang menjadi nadi penting kepada skuad ini.
Walaupun dilihat hanya beraksi dalam liga amatur, tetapi aura ditunjukkan oleh penyokong mereka ibarat seperti beraksi dalam kancah Liga Super dan suasana sebegitu sentiasa menjadi perangsang kepada setiap pemain bekerja keras dalam memastikan kejayaan sentiasa berpihak kepada mereka.
“Kalau ada yang bertanya apa sebab utama saya bersama pasukan ini, jawapannya sudah tentulah penyokong kerana itulah salah satu sebab utama saya nak sangat beraksi dalam skuad ini.
“Macam saya, nak beraksi dalam kelab atau pasukan lebih besar memerlukan kerja keras dan peluang yang saya dapat untuk beraksi dalam Liga M4 ini pun sudah cukup baik kerana di sini juga kami dapat rasakan aura penyokong superti di Liga Super.
“Saya percaya pasukan ini mampu menapak dengan lebih jauh bersaing dalam liga kompetitif dan perlu berusaha lebih kuat bagi mengekalkan kedudukan di tangga liga ketika ini,” katanya.