Oleh Muhammad Aiman
Pingat gangsa yang diraih ketika pusingan akhir Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat hujung minggu lalu membolehkan pelumba basikal negara, Muhd Shah Firdaus Sahrom melonjak ke kelompok 10 pelumba keirin terbaik dunia buat pertama kali.
Pelumba berusia 21 tahun itu sebelum ini di kedudukan ke-15 dunia dan kemaskini terbaharu menyaksikannya berada di kedudukan kelapan, sekaligus menyertai rakan senegara yang juga jaguh keirin, Azizulhasni Awang yang ketika ini di kedudukan keempat.
Lebih manis, perkhabaran gembira ini hadir hanya seminggu selepas namanya tersenarai sebagai salah seorang daripada 32 atlet Kita Juara yang diserap ke dalam Program Podium.
Ini sekaligus menyaksikan Shah Firdaus turut mengesahkan tempat buat Malaysia di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong yang akan berlangsung pada 12-16 April depan dan dia cukup teruja untuk beraksi bersama Azizulhasni di kejohanan dunia buat pertama kali.
“Ia sudah tentunya peralihan yang baik dalam karier saya, bulan lalu saya memenangi pingat individu pertama (gangsa Keirin di Kejohanan Asia di India) kemudian di Amerika Syarikat. Tetapi banyak lagi untuk saya kecapi. Saya perlu bekerja keras untuk kejohanan dunia kerana semua pelumba terbaik ada di sana.
“Saya berharap pengalaman di di pusingan akhir Piala Dunia baru-baru ini akan menjadi pengajaran terbaik buat saya, di mana basikal saya hanya tiba pada malam sebelum hari pertandingan. Sekaligus menyaksikan saya terpaksa melupakan acara pecut,” kata atlet kelahiran Johor itu.
Bagi Azizul, dia gembira kerana sudah ada atlet yang berpotensi menggantikannya apabila dia bersara kelak.
“Ia satu perkembangan sangat baik, saya tidak boleh selamanya berlumba jadi saya gembira kerana ada atlet berpotensi ambil alih tempat saya satu hari nanti. Shah Firdaus boleh menjadi lebih baik tetapi dia perlu untuk beraksi di lebih banyak pertandingan peringkat tinggi.
“Dia mempunyai keupayaan untuk melangkah lebih jauh kerana dia cepat belajar dan banyak bertanya ketika kami berlatih bersama di Melbourne,” kata Azizul.