Persiapan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC bagi mengharungi saingan musim baru Liga Malaysia sedikit terencat setelah kehilangan khidmat penyerang prolifik yang juga ketua pasukan mereka, Muhammad Shahrel Fikri Fauzi.
Pengendali pasukan, Abu Bakar Fadzim mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Sports247 dengan menyatakan bahawa Muhammad Shahrel yang merupakan penjaring terbanyak pasukan itu musim ini dengan 17 gol telah memilih untuk menyertai pasukan lain.
“Memang kita amat perlukan seorang pemain seperti Shahrel, dia boleh menjaringkan 17 gol meskipun bersaing dengan pemain import. Jarang ada pemain tempatan boleh melakukannya jadi saya akui ia kehilangan besar tetapi kita tidak boleh menyekat mana-mana pemain yang sudah tidak mahu bersama pasukan. Mungkin masa depan mereka lebih baik bersama pasukan lain.
“Kita perlu terus pandang ke depan, usaha membentuk pasukan tetap berjalan seperti biasa. Pasukan ini dibarisi pemain muda yang dahagakan aksi, kita cuba ketengahkan mereka. Kita juga dalam proses mendapatkan pemain baru yang sesuai dengan taktikal PKNP. Rundingan sedang berjalan, kita akan tandatangani mereka jika semuanya berjalan lancar,” kata Abu Bakar.
Selain Shahrel Fikri, PKNP turut kehilangan khidmat pemain import dari Korea Selatan, Kim Hyeon Woo yang turut memilih haluan lain manakala tonggak skuad B-22 kebangsaan Syazwan Zaipol Bahari pula kembali bersama majikannya Persatuan Bolasepak Perak selepas tempoh pinjamannya berakhir.
Mengenai pemain import, Abu Bakar berkata dua pemain Gilberto Veldenesio Fortunato dan Ritus Krjauklis sudah ditawarkan kontrak baru, dalam masa sama mereka juga sedang mencari calon import sesuai untuk dibawa masuk bersesuaian dengan bajet pasukan.
“Kita tidak akan sewenang-wenang ambil pemain import hanya kerana ada ejen rekemen atau CV-nya yang bagus. Cara kita adalah mana-mana pemain import kena datang, berlatih, bermain dalam perlawanan persahabatan dan kita akan menilai mereka. Lagipun, kita sebuah pasukan dengan bajet yang tidak mewah, jadi kita hanya akan ambil pemain yang boleh terima tawaran kita sahaja,” ujarnya lagi.
PKNP pada musim 2017 menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Premier di belakang Kuala Lumpur dan Terengganu dan terlepas tiket beraksi di Liga Super.
Namun dengan Felda United tidak mendapat lesen bermain di Liga Super manakala T-Team pula memilih bermain di Liga Premier sebagai ‘feeder club’ kepada Terengganu, Football Malaysia Limited Liability Partnership sedang mempertimbangkan untuk menawarkan slot itu kepada PKNP dan Negeri Sembilan.OLEH MUHD AIMANÂ