Pemain pertahanan Felcra FC, Shahrom Kalam masih meletakkan harapan agar pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageeb Wahab beberapa hari lalu bahawa kelab itu akan dibubarkan bukanlah satu keputusan muktamad.

Bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman luas itu menganggap ianya satu kerugian besar seandainya Felcra FC yang telah berusaha keras untuk layak ke Liga Super akhirnya membuat keputusan menarik diri malah lebih membimbangkan adalah punca rezeki para pemain yang terjejas.

“Amat sayang, selepas enam tahun ditubuhkan dan berjaya ke Liga Super, tiba-tiba kelab ini hendak dibubarkan. Apatah lagi saya melihat FELCRA FC mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh.

“Sebagai kapten, saya turut berasa risau dengan nasib 35 pemain yang pasti akan hilang mata pencarian terutama pemain-pemain muda. Oleh itu, saya mewakili semua pemain, membuat rayuan agar pihak atasan Felcra Berhad mempertimbangkan semula keputusan itu. Saya berharap, mereka mendengar rayuan kami,” ujar Shahrom.

Sebagai rekod, Felcra FC layak beraksi di Liga Premier buat kali pertama musim ini setelah juara Piala FAM musim 2017, Sime Darby FC membuat keputusan menarik diri kerana masalah kewangan dan slot itu telah dihadiahkan kepada mereka atas kapasiti sebagai semifinalis tanpa perlu melalui play-off.

Kejayaan mara ke Liga Premier menyaksikan mereka berbelanja mewah dengan merekrut beberapa pemain berprofil tinggi tempatan termasuklah Shahrom sendiri. Pasukan bimbingan Tarchisio Pugliese itu memulakan musim 2018 dengan baik apabila tidak tewas dalam 12 perlawanan pertama sebelum mengakhiri saingan di kedudukan kedua di belakang Felda United.

Mengenai hala tujunya jika keputusan pembubaran itu kekal, Shahrom yang pernah menyarung jersi Selangor dan Perak berkata dia tidak mempunyai pilihan, terpaksa mencari pasukan lain untuk meneruskan kariernya.

“Saya belum bercadang untuk bersara kerana masih mampu bermain. Kalau FELCRA dibubarkan, terpaksalah saya cari pasukan lain, tetapi itu adalah alternatif terakhir saya kerana sebolehnya saya mahu kekal bermain dengan pasukan ini dan masih mengharapkan kata putus yang positif dari pengurusan mengenai masa depan pasukan ini” kata pemain berusia 33 tahun itu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -