Mauro Olivi Sgor

Oleh Ku Mohd Lufti

Kejayaan melakar kemenangan dalam saingan Piala AFC menjadi tonik terbaik buat Selangor ketika melayan kunjungan Pulau Pinang malam ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kapten The Red Giants, Shahrom Kalam melihat, semangat dalam pasukan semakin meningkat selepas dibebani tekanan susulan aksi tidak menentu.

“Kami optimis akan meraih tiga mata. Moral pemain pemain juga dalam keadaan baik, dan Selangor akan menumpukan satu perlawanan demi satu perlawanan. Pulau Pinang atau mana mana pasukan dalam Liga Super adalah kuat. Malah, kami tidak memberikan tumpuan terhadap pemain pemain lawan. Kami hanya menumpukan persiapan Selangor kerana masih belum mencapai konsisten yang diperlukan.” Kata Shahrom Kalam.

Malah, bagi Shahrom, kehadiran dua tonggak, Razman Roslan dan penyerang, Mauricio Olivi untuk memperkuatkan lagi barisan kesebelasan utama malam ini menambahkan lagi keyakinan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan untuk meraih kemenangan ke 4.

Mauro Olivi digantung oleh persatuan bolasepak Selangor, FAS susulan insiden kekasaran di bilik persalinan dengan Hafiz Kamal ketika Selangor tewas di tangan Felda United.

Manakala Razman Roslan diketepikan susulan kecederaan peha dan disahkan telah pulih sepenuhnya dan sudah menjalani latihan bersama rakan rakan.

Tiga perlawanan terakhir Liga Super, Selangor mencatat keputusan seri 2 sama menentang Kedah dan tewas dengan keputusan 1-3 ke atas Terengganu dan Felda United.

Kemenangan di Selayang adalah penting dalam menghidupkan peluang untuk terus merapatkan jurang mata dengan dua pasukan teratas, Johor Darul Takzim, JDT dan pendahulu, Felda United.

Selangor kini menghuni tangga keempat, berkongsi 11 mata dengan Polis Diraja Malaysia, PDRM.

- Advertisement -