Oleh Muhammad Aiman
Kapten Terengganu, Mohd Shahrun Nabil semakin kesuntukan masa untuk kembali cergas sepenuhnya bagi menghadapi aksi Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) yang akan membuka tirai pada 19 Ogos depan.
Bekas kapten skuad kebangsaan itu tersisih daripada aksi sejak menjalani pembedahan akibat kecederaan di lutut kirinya pada November lalu, dan belum pun sempat pulih sepenuhnya dia mengalami satu lagi kekoyakan otot meniscus di lutut sama yang memaksa pemain berusia 31 tahun itu menjalani satu lagi pembedahan pada Jun.
Shahrun yang baru sahaja kembali turun menjalani latihan sejak minggu lalu mengakui dia belum berada pada tahap bersedia sepenuhnya untuk membantu Terengganu mengekalkan kejuaraan berganda – Liga dan juara keseluruhan – yang dimenangi dua tahun berturut-turut pada 2014 dan 2015.
“Memang saya tidak cergas kerana saya tidak berlatih selama sembilan bulan yang lepas. Saya baru sahaja turun berlatih sejak empat hari yang lepas, dan saya akan cuba meningkatkan tahap kecergasan saya dalam beberapa hari yang berbaki ini,” ujar Shahrun yang beraksi di LHM sejak 2004.
Tambahnya, “Saya kesuntukan masa untuk aksi Piala Sumbangsih menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada 19 Ogos. Saya serahkan kepada jurulatih (Sarjit Singh) sama ada mahu turunkan saya atau tidak untuk perlawanan itu.”
Manakala Sarjit pula menyatakan bahawa dia akan melakukan ujian kecergasan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai status Shahrun namun dalam masa sama gembira kerana lima daripada enam pemain import yang direkrut sudahpun berada di sini dan menjalani latihan bersama-sama pasukan.
Terengganu yang mula beraksi di LHM sejak 2012, telah membawa masuk trio Korea Selatan iaitu Jang Jong Hyun, Kim Jung Hoo, dan Kim Ki Hoon, Pablo Javier Trevisan dan Nicolas Enrique Della Torre dari Argentina serta Muhammad Irfan dari Pakistan bagi memperkuatkan cabaran mereka musim ini.