Oleh Ku Mohd Lufti

Menggalas tugas sebagai atlet negara dengan jadual dan rutin harian yang padat terhadap pelajaran dan latihantidak menghalang atlet gimnastik, Shak Yuki untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Atlet berusia 17 tahun itu yang berada di dalam Program Kita Juara antara tiga pelajar cemerlang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dengan memperoleh keputusan 7A dan 2B.

“Keputusan cemerlang ini adalah suntikan semangat terbaik untuk saya dan rakan sepasukan yang kini membuat persiapan menghadapi Sukan SEA,” kata Shak Yuqi.

Shak yang pernah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Connaught, Cheras pastinya mampu menarik nafas lega sekaligus memberi fokus yang lebih dalam persiapan untuk menghadapi temasya dwitahunan pada Ogos depan selepas gagal beraksi di Singapura pada 2015 akibat kecederaan lutut.

Atlet pelapis renang kebangsaan, Asmalia Filzati Redzuan juga meraih keputusan yang cemerlang, memperoleh 8A dan 1B.

“Pihak sekolah sudah menyediakan jadual kelas dan pertandingan, jadi ia memudahkan saya untuk membahagikan masa.

“Waktu pagi, kami akan mengikuti kelas, menjalani latihan pada waktu petang sebelum membuat ulangkaji berkumpulan pada waktu malam,” kata Asmalia.

Turut meraih keputusan cemerlang dalam SPM, Ng Yong Jie, yang meraih keputusan 8A dan 2B.

- Advertisement -