Sharbinee Allawee terpaksa melupakan saingan Liga Malaysia buat musim kedua-dua berturut-turut setelah masalah kesihatan dialami bekas penjaga gol kebangsaan itu tidak sempat pulih sepenuhnya menjelang sepak mula Liga Malaysia musim baru.

Penjaga gol yang menyarung jersi Terengganu FC I (TFC I) itu telahpun tersisih hampir setahun sebelum ini kerana menjalani rawatan pemulihan terhadap jangkitan paru-paru.

Dia hanya beraksi dua perlawanan sahaja dalam saingan 100PLUS Liga Premier musim lalu iaitu menentang PKNP FC dan PDRM namun dengan keadaannya yang semakin bertambah baik dia dilaporkan akan kembali ke dalam skuad sang penyu.

Malah, baru-baru ini Sharbinee telah mula menjalani latihan ringan bersama pasukan itu namun jelas masa tidak menyebelahi penjaga gol yang membantu Terengganu menjulang Piala FA pada 2011 itu.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Sharbinee terpaksa digugurkan kerana masalah kecergasan yang tidak mengizinkan di kala pasukan pula sudahpun memasuki fasa latihan intensif untuk saingan musim baru bermula 3 Februari.

“Dia masih bersama pasukan, terus berusaha untuk mengembalikan keyakinan dan kecergasannya. Cuma buat masa ini kita biarkan dia fokus terhadap pemulihan dan tidak senaraikannya di dalam skuad. Namun jika dia menunjukkan perkembangan positif dan pulih sepenuhnya, kita akan tengok sama ada dia boleh beraksi atau tidak, dan memantau laporan perubatannya,” kata Wan Nawawi.

Persiapan TFC I kendalian Irfan Bakti Abu Salim bagaimanapun tidak terjejas dengan ketiadaan Sharbinee memandangkan mereka ketika ini mempunyai empat penjaga gol dalam skuad utama iaitu bekas penjaga gol Pahang, Wan Mohd Azraie Wan The; Syazwan Yusoff; penjaga gol veteran, Suffian Abdul Rahman dan penjaga gol skuad B-23 negara Amierul Hakimi Awang.OLEH MUHD AIMAN

 

- Advertisement -