Kemuncak saingan Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS Divisyen Satu sampai kekemuncaknya hari ini.
Daniel Edry Elvestly menepati ramalan untuk menaiki podium selaku juara perseorangan lelaki B16 selepas menang ke atas pemain Johor, Wee Yee Hern.
Daniel berdepan tentangan sengit di set pertama apabila dipaksa beraksi sehingga ‘deuce’ selepas kedudukan terikat 20 sama. Namun pemain kelahiran Kota Marudu ini memastikan kemenangan menjadi milinya dengan 22-20.
Wee Hern tampak hilang fokus dan gagal membaca permainan Daniel sekaligus melakukan kesilapan dan membuka ruang kepada lawannya untuk meraih mata.
Setiap peluang dimanfaatkan Daniel untuk menutup set kedua dengan kemenangan 21-14 selepas bertarung selama 24 minit.
“Tekanan agak tinggi sepanjang permainan kerana saya tidak tahu cara permainan lawan. Jadi saya cuba bermain di jaring untuk memerangkap lawan dan ternyata ia berjaya.
“Sudah tentu saya menjadi perhatian selepas ini dan ia akan memberikan cabaran yang berbeza, dan perlu berlatih dengan lebih lagi selepas ini,”kata Daniel.
Dominasi Sabah dalam acara perseorangan dinoktahkan Goh Shuen Tong yang turun berdepan pemain Selangor, Sik Xiao Hui.
Kawalan gelanggang dan smash yang baik menjadi kekuatan Goh Shuen Tong untuk mengecewakan Xiao Hui sepanjang perlawanan.
Pemain kelahiran Kota Kinabalu ini menutup saingan perseorangan perempuan B16 dalam masa 22 minit dengan kemenangan straight set 21-18, 21-10 untuk mengesahkan kejuaraan.
Shuen Tong terus cemerlang untuk memberikan kejuaraan ketiga buat Sabah apabila gandingannya dengan Cassey Ryn Rompog melakar kemenangan straight set ke atas bergu Selangor, Sik Xiao Hui-Wong Zi Yi 21-19, 21-17.
“Masih banyak lagi yang perlu saya lihat terutama kelajuan dan permainan di jaring kerana semua pemain akan mencari kelemahan saya selepas ini dan ia pastinya memberi tekanan ke atas diri saya,” kata Shuen Tong.
Johor meraih satu kemenangan dalam acara bergu lelaki menerusi pilihan pertama, Chong Jen Son-Wee Yee Hern yang bangkit daripada kekalahan untuk melakar kemenangan 17-21, 21-17, 21-13 ke atas bergu Selangor Brandon Hee Hek Yong-Kok Jia Zheng.
“Kami banyak melakukan kesilapan di set pertama ditambah kehilangan fokus. Tetapi kami cuba perbaiki semula di set berikutnya dan berjaya untuk mengawal permainan.
“Secara keseluruhan, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki samada acara perseorangan atau bergu, kami akan kaji semula untuk persiapan ke kejohanan seterusnya,” kata Yee Hern.
Sementara itu, saingan bawah 14 tahun didominasi Johor yang meraih tiga kejuaraan.
Dania Sofea Zaidi paling cemerlang apabila membutirkan dua kejuaraan untuk Johor selepas mengungguli perseorangan dan bergu perempuan.
Dalam acara perseorangan, Dania tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil dari Sabah Kon Han dengan keputusan straight set 21-17, 21-12.
Beliau kemudiannya bergandingan dengan Lai E Yun melakar kejutan apabila menewaskan pilihan pertama dari Sabah, Jovine Calvin-Wee Yee Tern juga dengan kemenangan straight set 21-19, 21-15.
Pasangan bergu lelaki Johor, Toh E Hern – Wee Yee Tern (Johor) yang juga pilihan pertama turut cemerlang untuk menaiki podium selaku juara selepas membenam cabaran pasangan Selangor, Kong Zhou Swin – Shawn Hiu dengan kemenangan straight set 21-17, 21-12.
Sementara Selangor meraih kemenangan tunggal dalam acara perseorangan lelaki menerusi Kong Zhou Win yang bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk menang 15-21, 25-23, 21-12.
Saingan akhir bawah 12 tahun pula didominasi Selangor. Gandingan Khoo Jin-Muhd Razin Aqeef Doni cemerlang menundukkan Danish Haiqal Mohamad-Lai Man Tat dari Kedah dengan kemenangan 21-10, 21-18.
Khoo Jin sekali lagi cemerlang untuk membutirkan kemenangan kedua buat Selangor apabila menjuarai perseorangan lelaki selepas menundukkan rakan sepasukan Muhd Razin Aqeef Doni 15-21, 25-23,21-12.
Turut cemerlang, bergu perempuan, Tan Xin Yu – Carine Tee Qin Xi yang melakar kemenangan straight set ke atas gandingan Pulau Pinang, Choong Shi Ming – Giovanna Koay Yi Shyuan 21-11, 21-13.
Sementara Sabah meraih kemenangan dalam dalam acara perseorangan perempuan menerusi Saidatul Saadiah Muhammad yang menundukkan Low Zi Yu dari Johor 21-18 21-13.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria
KEPUTUSAN PERLAWANAN AKHIR
BAWAH 16 TAHUN
PERSEORANGAN LELAKI
Daniel Edry Elvestly (Sabah) – Wee Yee Hern (Johor) 22-20, 21-14
PERSEORANGAN PEREMPUAN
Goh Shuen Tong (Sabah) – Sik Xiao Hui (Selangor) 21-18, 21-10
BERGU LELAKI
Chong Jen Son/Wee Yee Hern (Johor) – Brandon Hee Hek Yong/Kok Jia Zheng (Selangor) 17-21, 21-17, 21-13
BERGU PEREMPUAN
Goh Shuen Tong/Cassey Rynn Rompog (Sabah) – Sik Xiao Hui/Wong Zi Yi (Selangor) 21-19, 21-17
BAWAH 14 TAHUN
PERSEORANGAN LELAKI
Kong Zhou Win (Selangor) – Muhd Thaqif Shaz Mohd Shazlan (Selangor) 15-21, 25-23, 21-12
PERSEORANGAN PEREMPUAN
Dania Sofea Zaidi (Johor) – Kon Han (Sabah) 21-17, 21-12
BERGU LELAKI
Toh E Hern /Wee Yee Tern (Johor) – Kong Zhou Swin/Shawn Hiu (Selangor) 21-17, 21-12
BERGU PEREMPUAN
Lai E Yun/Dania Sofea Zaidi (Johor) – Jovine Calvin/Kon Han (Sabah) 21-19, 21-15
BAWAH 12 TAHUN
PERSEORANGAN LELAKI
Khoo Jin (Selangor) – Muhd Razeen Aqeef Doni (Selangor) 15-21, 25-23, 21-12
PERSEORANGAN PEREMPUAN
Saidatul Saadiah Muhammad (Sabah) – Low Zi Yu (Johor) 21-18 21-13
BERGU LELAKI
Muhd Razin Aqeef Doni/Khoo Jin (Selangor) – Lai Man Tat/Danish Haiqal Mohamad (Kedah) 21-10 21-18
BERGU PEREMPUAN
Tan Xin Yu/Carine Tee Qin Xi (Selangor) – Choong Shi Ming/Giovanna Koay Yi Shyuan (P Pinang) 21-11, 21-13