Oleh Muhammad Aiman
Masalah ketumpulan sentuhan penyudah jelas memeningkan pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee yang memerlukan pemainnya menjaringkan gol jika berhasrat meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia 2019.
Di sebalik berita gembira kedua-dua aksi akan berlangsung di Larkin menjelang pertembungan menentang Timor Leste, kebimbangan utama Kim Swee adalah dia tidak mempunyai pilihan penyerang lain yang boleh diletakkan harapan berbanding penyerang sedia ada ketika ini diketuai pemain senior, Amri Yahyah. Â
“Kalau nak menang, kita kena skor gol dan buat masa ini siapa lagi pilihan yang saya ada? Amri adalah pilihan terbaik kita ada, dan nasib baik Hazwan (Bakri) sudah kembali dari kecederaan. Selain mereka berdua, saya akan memanggil satu atau dua lagi penyerang berdasarkan prestasi semasa untuk melengkapkan skuad. Kita mempunyai penyerang tetapi masalah kita mereka tidak menjaringkan gol.
“Saya tidak kisah jika gol itu dijaringkan penyerang atau pemain tengah, tetapi saya perlu sandarkan harapan pada pemain sedia ada ini untuk cari gol. Saya percaya keadaan mungkin lebih baik jika pemain kita mendapat lebih banyak peluang beraksi, kerap diturunkan dan lebih banyak pendedahan apabila bersama skuad kebangsaan nanti,” ujar Kim Swee.
Kim Swee turut menyatakan bahawa terdapat beberapa penyerang muda yang berada dalam pemerhatian termasuk penyerang Terengganu Amirul Syahmi Ashaari serta Shafiq Shaharudin dan mereka akan dipanggil apabila pasukan kebangsaan terlibat dalam tiga perlawanan persahabatan kelas A dalam Jelajah Oceania pada bulan Jun nanti.
“Kita tidak boleh memanggil pemain yang tiada pengalaman antarabangsa dan harapkan sesuatu yang luar biasa dari dia. Dia mungkin bagus dalam liga tetapi adakah dia bagus di peringkat antarabangsa? Kita akan cuba bagi peluang kepada pemain ini pada Jelajah Oceania nanti.
“Objektif utama saya adalah selain membina keyakinan pemain dan perbaiki ranking, saya mahu gambaran jelas mengenai skuad saya serta kesemua pemain tonggak saya betul-betul bersedia untuk menghadapi Piala AFF Suzuki akhir tahun nanti,” tambah Kim Swee lagi.
Kim Swee bercakap kepada pemberita pada sidang media bulanan skuad kebangsaan yang turut dihadiri barisan pegawai pasukan kebangsaan termasuk Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Amin.
Pada sidang media itu, Kim Swee memaklumkan bahawa FAM telah mengatur beberapa perlawanan persahabatan berkelas A sepanjang tahun ini sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki 2016 serta membantu usaha memperbaiki ranking skuad kebangsaan yang ketika ini menjunam ke kedudukan terburuk 174 dunia.
Bermula dengan aksi persahabatan menentang Myanmar pada 28 Mei ini yang juga persiapan terakhir sebelum berdepan Timor Leste, Harimau Malaysia akan berdepan tiga pasukan dalam Jelajah Oceania iaitu Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun) yang mana kesemua tiga pasukan itu berada di ranking lebih rendah dari pasukan negara.
“Selepas tiga perlawanan pada bulan puasa itu, saya sudah merancang perlawanan-perlawanan lain bagi mengisi kesemua tarikh dalam kalendar FIFA sepanjang 2016 ini dan ketetapan pasukan lawan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas pengesahan dibuat,” jelas Kim Swee.