Musim ini Kuala Lumpur menamatkan saingan dengan menggunakan khidmat empat penjaga gol iaitu Sharbinee Allawee Ramli, Khatul Anuar Jalil, Solehin Mamat dan Kamarul Effandi Abdul Rahim.
Kesemua penjaga gol itu masih kekal di dalam skuad dan terbaru mereka juga telah membawa masuk bekas penjaga gol Kelantan iaitu Faridzuean Kamaruddin, selain turut mempunyai penjaga gol muda dari skuad Piala Presiden Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.
Dengan lambakkan penjaga gol di dalam skuad, pengendalinya, Yusri Che Lah ketika ini dalam dilema berikutan perlu membuat keputusan mengenai siapa yang mahu dikekalkan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2019.
Faridzuean, Sharbinee dan Khatul Anuar dijangka menjadi pilihan utama mengawal gawang skuad warga kota; Ahmad Solehin pula sedang merawat kecederaan manakala Ameerul Eqhwan boleh digilap menjadi bintang masa depan, justeru Kamarul Effandi mungkin bakal mengucapkan selamat tinggal dan situasi itu diakui oleh Yusri sendiri.
“Bukan sesuatu yang mudah untuk membuat keputusan, mempunyai pilihan yang banyak sehingga lima atau enam pemain di posisi lain mungkin bagus tetapi tidak di posisi penjaga gol. Kita akan merugikan peluang mereka dan saya tidak mahu merugikan peluang mana-mana pemain.
“Jadi saya tidak mahu membuang masa Kamarul dan dia juga sedia maklum dengan situasi semasa di dalam skuad. Saya akan nilai prestasi dia sewaktu latihan dalam tempoh terdekat, jika dia menunjukkan peningkatan saya akan mengekalkannya.
“Tetapi jika sebaliknya lebih baik saya berterus terang kepadanya sekiranya dia mendapat tawaran pasukan lain, saya akan memberinya lampu hijau,” kata Yusri yang dilantik sebagai jurulatih Kuala Lumpur awal bulan ini mengisi kekosongan ditinggalkan Fabio Maciel.
Sementara itu, mengenai persiapan pra-musim pasukannya, Yusri menekankan tumpuan utama ketika ini adalah memperbaiki kepincangan di benteng pertahanan Kuala Lumpur yang dibolosi 51 kali dalam 22 perlawanan Liga Super sekaligus menjadi pasukan paling banyak melepaskan gol musim ini.
Namun apa yang sedikit meresahkannya, tidak banyak pilihan dimiliki di posisi pertahanan sepertimana pilihan yang ada di posisi penjaga gol dengan hanya bekas pemain Terengganu Fitri Omar dan Alif Samsudin (Felcra FC) merupakan rekrut terbaru untuk memperkuatkan pertahanan.
“Saya juga memantau dan telah mengenalpasti beberapa tonggak pasukan Piala Presiden dan B-19 kebangsaan yang sedang menunjukkan peningkatan. Memang untuk peringkat awal kita berdepan kesukaran tetapi bagi saya jika mereka digilap dan diberi pendedahan yang betul, ia satu perkembangan yang baik untuk pasukan,” ujarnya.
Kuala Lumpur pada musim 2018 menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10, mara sehingga ke suku akhir Piala FA manakala dalam saingan Piala Malaysia pula kandas di peringkat kumpulan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN